UNTUK HENTI ‘POLITICKING’, YANG DIPERLU PERALIHAN KUASA, BUKANNYA USUL UNDI PERCAYA 11 February 2020



Walaupun belum membuat keputusan sama ada menyokong atau tidak, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan berkata, usul undi percaya kepada Perdana Menteri yang akan dibawa oleh Pas adalah perlu untuk Malaysia.

Ini kerana, katanya, terlalu banyak “politicking” dalam negara ketika ini.

“Kebelakangan ini Malaysia menyaksikan terlalu banyak “politicking” sehingga kita seperti terlupa bahawa negara ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang genting.

“Malaysia yang sebenarnya memerlukan ‘the confidence vote’ (undi percaya).

“Jika Malaysia gagal dalam menangani krisis keyakinan terhadap kemampuannya, Malaysia akan terus menjadi negara membangun yang biasa-biasa,” katanya lagi.

Kesian dengan Mat Hassan, beliau rupanya gagal melihat dengan mata hati hakikat sebenar dalam negara sekarang ini.

“Politicking” atau permainan politik yang terlalu banyak dalam negara sekarang ini, sebab utamanya adalah kerana pembangkang seperti UMNO dan Pas tidak dapat menerima dengan hati terbuka kedudukan PH sebagai kerajaan yang sah dan dipilih oleh rakyat.

Setiap hari ada saja kacau ganggu yang cuba mereka lakukan untuk menggugat dan mencetuskan ketidakstabilan kepada PH dan kerajaan dengan harapan dapat memenangi PRU akan datang.

UMNO dan Pas seolah-olah tidak sabar menunggu PRU seterusnya untuk berpencak dalam politik secara sihat dan matang.

Undi percaya yang dirancang mahu dibawa oleh Pas terhadap Perdana Menteri, ini adalah satu lagi usaha jahat parti itu untuk menggugat kestabilan PH sebagai kerajaan.

Tiada keperluan sama sekali untuk Pas sebagai pembangkang membawa usul tersebut kerana kedudukan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri tidak pernah tergugat lantaran majoriti yang diperolehi sejak PRU14 lalu masih lagi utuh sehingga kini.

Oleh itu, adalah tidak benar seperti kata Mat Hassan, undi percaya itu diperlukan oleh negara kerana terlalu banyak “politicking” sedang berlaku.

Selain “politicking” itu sendiri dimainkan oleh pembangkang, sedarkah Mat Hassan bahawa undi percaya Pas itu akan mencetuskan lebih banyak kekacauan dalam negara selepas ini.

Dan ia tidaklah menghairankan kerana tujuan Pas membawa usul itu pun adalah bermotifkan politik semata-mata.

Takkan Mat Hassan gagal memahaminya?
Sebaliknya, perkara yang boleh mengurangkan “politicking” dalam negara ialah kiranya proses peralihan kuasa tidak diganggu oleh mana-mana pihak, terutamanya UMNO dan Pas.

Kalau isu peralihan kuasa ini dapat diselesaikan dengan baik di mana tarikh khusus untuk Anwar Ibrahim akan menggantikan Tun Mahathir dapat ditetapkan, maka dengan sendirinya “politicking” dalam negara akan berakhir dan kestabilan akan mengambil alih tempatnya.

Tetapi, sudah tentu Mat Hassan dan Pas khususnya, tidak gembira bila ada kestabilan dalam negara serta PH tidak berjaya digolakkan keadaannya.

Jadi, dengan Mat Hassan mengatakan undi percaya kepada Tun Mahathir adalah keperluan untuk Malaysia, bellau sebenarnya sudah tersasar sama sekali daripada hakikat yang sebenarnya, selain sedang menampakkan dirinya seperti “langau” yang suka kepada benda-benda yang busuk juga.

Ehhh…Mat Hassan lupa ke, bukankah ibunya pernah berpesan, kalau tak dapat jadi garam, janganlah jadi langau?

Tapi, kenapa jadi langau juga jadi kesukaan beliau akhirnya?

 (ShahbudinHusin 11/02/2020)


No comments: