Tuesday, February 11, 2020

Majlis Presiden PH perlu putuskan isu serah jawatan PM


Penganalisis politik Prof Dr Mohammad Agus Yusoff berkata isu peralihan kuasa jawatan perdana menteri perlu dikendalikan dengan baik di kalangan Majlis Presiden Pakatan Harapan itu sendiri.

Menurut pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, Majlis Presiden PH perlu membuat keputusan tersebut tanpa memihak kepada sesiapa.

Ini katanya, kerana BN dan PAS sedang cuba mengambil kesempatan dalam isu peralihan kuasa demi kepentingan politik mereka.

“Kalau Tun (Dr Mahathir Mohamad) nak lagi (pegang jawatan PM) kena berkompromilah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sebaliknya, Agus (gambar, bawah) berkata, jika PH gagal bertolak-ansur dan terus meletakkan tanda tanya dalam isu ini, maka lebih baik diadakan pilihan raya umum.


“Jadi soal-soal sebegini kena ditangani dengan baik dan jujur sebab saya yakin antara (Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir) dan (Presiden PKR) Anwar (Ibrahim) tiada masalah.

“Yang jadi masalah ni adalah empat pihak - pertama ialah penyokong Anwar yang mendesak, penyokong Tun yang nak mempertahankan Tun, penyokong BN yang nak cari peluang, PAS yang cuba juga untuk mengambil peluang dalam keadaan sebegini.

“Dalam soal sebegini kita diperhatikan dunia. Negara kita sangat memerlukan keadaan politik yang stabil untuk menarik pelabur hadir ke negara kita,” kata Agus.
Pada 14 Januari lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau bersedia untuk melepaskan jawatannya serta-merta sekiranya majlis presiden Pakatan Harapan mengkehendakinya.

"Saya fikir ini akan diputuskan oleh empat parti (PH) bersama. Sama ada mereka mahu saya pergi atau tidak pergi.

"Jika mereka mahu saya berundur sekarang, saya akan berundur," katanya.


Ketika wawancara bersama laman The Malaya Post pada 9 Februari pula, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, tetapi menambah keputusan muktamad terletak pada Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Mahathir telah berkali-kali menyatakan beliau akan memenuhi janji berkenaan.

Terbaru, beliau membayangkan ia akan berlaku selepas berakhirnya sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada akhir Nov tahun ini.

Mahathir macam nak elak serah jawatan
Sementara itu, Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula menyifatkan kenyataan perdana menteri itu seolah-olah cuba mengelak menyerahkan jawatan tersebut kepada anggota parlimen Port Dickson.
Katanya, keadaan ini berbeza apabila Dr Wan Azizah Wan Ismail mengotakan janjinya dengan bersetuju memilih Mahathir sebagai perdana menteri sebelum PH memenangi PRU14.

“Kenyataan sebegini yang dilontarkan akan menyebabkan penyokong Anwar melihat peluang Dr Mahathir untuk menunaikan janji menjadi berbelah bahagi kerana kenyataan tersebut kelihatan kurang tegas dan tidak langsung.
“Mahathir jadi PM bukan keputusan pembangkang tapi diangkat oleh PH. Rakyat undi PH adalah sokongan daripada PH dan bukannya PAS atau sekutu selain daripada PH,” katanya yang turut senada dengan Agus mengenai BN dan PAS dalam isu ini.

Menurut pensyarah itu, sekiranya keputusan benar-benar diletakkan pada Dewan Rakyat ia seharusnya mempunyai sokongan majoriti walaupun terdapat beberapa individu dilihat menentang Anwar secara terbuka.

“Kepentingan PH harus mengatasi kepentingan dan masalah individu. Manakala individu yang dilihat tidak bersetuju, sewajarnya memikirkan bahawa kerusi yang mereka duduki itu adalah ehsan dan mandat rakyat yang memberikan kemenangan kepada PH.

“PAS dan sekutu mereka misalnya, tak terlibat dalam memberikan kemenangan kepada PH, sebaliknya cuba memecahkan-belahkan PH agar lebih mudah laluan PAS untuk menang pada pilihan raya akan datang,” kata Awang Azman (gambar, bawah) lagi.

Untuk rekod, pada masa ini, PKR adalah parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 47 anggota parlimen, disusuli dengan DAP (42), Bersatu (26) dan Amanah (11). Sekutu PH iaitu Warisan memiliki sembilan anggota parlimen.

Bagaimanapun, perseteruan dalaman antara Anwar dengan timbalannya Mohamed Azmin Ali membangkitkan persoalan sama ada anggota parlimen Port Dickson itu mendapat sokongan daripada kesemua 47 anggota parlimen partinya.
Mengikut persefahaman dicapai antara pemimpin parti komponen PH menjelang PRU ke-14 hampir dua tahun lalu, Dr Mahathir dicalonkan sebagai perdana menteri bagi menumbangkan Najib Razak.

Mahathir kemudian dikatakan bakal berundur untuk memberi ruang kepada Anwar - yang sebelum itu menjadi calon perdana menteri bagi PKR, DAP dan Amanah.

Penubuhan Bersatu dan penyertaan parti itu ke dalam PH menyaksikan pembangkang ketika itu - Pakatan Rakyat - menukar strategi dengan menawarkan kepimpinan Mahathir yang sebelum ini pernah menjadi perdana menteri selepas lebih 20 tahun.

Selepas membentuk kerajaan pusat pada Mei 2018, sesetengah pemimpin PKR mendesak agar ada tarikh yang jelas ditetapkan untuk peralihan kuasa daripada Mahathir, 94, kepada Anwar, 72.



No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers