3:30 petang (Dikemaskini 3:35 petang)
*KES ZAHID*
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan Yayasan Akal Budi yang dipengerusikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, membuat pembayaran berjumlah RM 31,082,732.57 atas pelbagai tujuan.
Perkara itu dimaklumkan Pengurus Cawangan Affin Bank ,Cawangan Jalan Bunus, Kuala Lumpur, S Rajen Taran.
Dia menyatakan perkara itu sambil merujuk pernyataan bertulis saksinya, ketika pemeriksaan utama oleh DPP Lee Keng Fatt.
Jumlah tersebut kira-kira sama dengan nilai dakwaan yang didakwa diselewengkan Zahid oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan ini.
Rajen berkata, pembayaran dengan jumlah itu setelah meneliti rekod cek, kiriman wang dan penyata kewangan milik Yayasan Akalbudi antara Januari 2014 hingga November 2016.
Menurutnya, transaksi itu melibatkan kiriman wang berjumlah RM 17,953,185.21 kepada firma guaman Messrs Lewis & Co menerusi cek jurubank, dan 50 keping cek bernilai RM 13,129,547.36 dari akaun yayasan itu, yang menurutnya memiliki "tandangan sah Ahmad Zahid".
Katanya, cek-cek tersebut antara lain melibatkan RM 1,300,630.82 yang dibayar kepada "Amislamic Bank Card Services for Ahmad Zahid Hamidi” dan RM 61,406.99 yang dibayar kepada “Maybankard Centre for Ahmad Zahid Hamidi”.
Selain itu, kata Rajesh lagi, cek-cek tersebut juga digunakan untuk membayar RM 107,509.55 kepada Ahmad Izhan Abdul Rashid (ejen insurans Allianz General Insurance yang menguruskan pembayaran polisi insurans dan cukai jalan Zahid), RM 360,000 kepada TS Consultancy & Resouces, RM 1,300,000 kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia dan RM 10,000,000 kepada Armada Holdings Sdn Bhd.
Rajen merupakan saksi pendakwaan ke-27 bagi perbicaraan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahmad Zahid.
Selain pengerusi, dia juga pengasas, pemegang amanah dan penandatangan tunggal bagi Yayasan Akalbudi.
Ketika perbicaraan sebelum ini, pada tahun lalu, semua transaksi melibatkan RM 31 juta ini telah dibangkitkan oleh saks-saksi lain, antaranya pegawai Maybank dan Ambank, Ahmad Izhan, serta saksi daripada TS Consultancy, Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia dan Armada Holdings.
Dalam pernyataan pembukaan, pihak pendakwaan mendakwa RM 31 juta dana milik yayasan itu langsung tidak disalurkan kepada golongan miskin dan memerlukan semasa Zahid menjadi pemegang amanah, bertentangan dengan tujuan penubuhannya.
Sebaliknya, melalui jejak aliran tunai yang dibentangkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan mendakwa, dan akan cuba membuktikan dalam perbicaraan, bahawa jumlah besar milik yayasan itu digunakan untuk, antara lain, membayar bil kad kredit peribadi, membeli polisi insurans kenderaan bermotor dan menjelaskan cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.
Perbicaraan yang masuk hari ke-13 hari ini dilakukan di hadapan Hakim Collin Lawrence.