PAS SEPATUTNYA BAWA USUL UNDI TAK PERCAYA, NAMAKAN HADI AWANG CALON PERDANA MENTERI




Sebagai pembangkang, keputusan Pas untuk membawa usul percaya di Parlimen bagi menyokong kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri adalah sesuatu yang aneh dan pelik.

Tidak pernah berlaku pembangkang menyokong Perdana Menteri melalui usul seperti itu kerana yang sepatutnya mengemukakan usul percaya ialah parti kerajaan.

Peranan pembangkang ialah untuk melakukan “check and balance” terhadap kerajaan dan bukannya menjadi pengampu atau penjilat kepada Perdana Menteri.

Biasanya kerja-kerja mengampu itu hanya dilakukan oleh parti atau pemimpin dalam kerajaan sahaja.

Sebab itu, tindakannya Pas menjadi pengampu dan penjilat kepada Perdana Menteri adalah sesuatu yang pelik, aneh dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Lebih pelik, tahap mengampu dan menjilat Pas terhadap Tun Mahathir selaku Perdana Menteri itu melebihi daripada apa yang dilakukan oleh parti dan pemimpin dalam kerajaan sendiri.

Kalau pun mahu mengemukakan usul, Pas sepatutnya membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Jika kerajaan berada dalam kedudukan tidak stabil seperti yang didakwanya, apa yang sepatutnya Pas lakukan ialah mengemukakan usul tidak percaya untuk menukar Perdana Menteri dan ia menunjukkan peranan “check and balance” telah dimainkan dengan berkesan.

Ini kerana melalui usul undi tidak percaya itu, ia menunjukkan ketidakyakinan kepada kerajaan dan parti mereka ada calon Perdana Menteri yang lebih sesuai untuk menggantikannya.

Ini tidak, dengan mendakwa kerajaan berada dalam keadaan tidak stabil, Pas sebaliknya mengemukakan usul percaya kepada Tun Mahathir, tetapi dalam masa yang sama terus bekerjasama dengan UMNO untuk menumbangkan kerajaan PH dalam PRU akan datang.

Tidakkah ini sesuatu yang benar-benar pelik?

Oleh kerana mendakwa kerajaan sekarang tidak stabil, Pas sewajarnya terus menyerang PH dan Perdana Menterinya serta menonjolkan calon Perdana Menteri pilihannya untuk pertimbangan rakyat.

Inilah sepatutnya masa terbaik bagi Pas menonjolkan Presiden mereka, Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri dengan penonjolan pertama melalui undi tidak percaya terhadap Tun Mahathir itu.

Kalau menang, bukankah merasa juga Hadi Awang jadi Perdana Menteri.

Atau, oleh kerana Pas sedia bekerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional, mereka juga boleh menonjolkan Presiden UMNO, Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri untuk dipertandingkan melalui undi tidak percaya yang mahu dibawa itu.

Tetapi, dengan membawa usul percaya, bukan saja peranan Pas sebagai pembangkang untuk “check and balance” kepada kerajaan sudah terhapus, malah parti itu menjadi parti yang lekeh dan tidak berkualiti di mata rakyat.

Lalu, kalau Pas sebagai pembangkang pun sudah jadi pengampu dan penjilat, siapa pula nak buat kerja “check and balance” terhadap kerajaan?

Kalau ia pun nak sangat menjadi pengampu dan penjilat kepada Perdana Menteri, lebih bermaruah jika Pas masuk menyertai kerajaan atau membubarkan partinya dan bergabung dengan Bersatu yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir.

Mana ada pembangkang dalam dunia ini yang kerjanya hari-hari mengampu dan menjilat Perdana Menteri. (ShahbudinHusin 11/02/2020)

No comments: