PEMUDA UMNO AKUI KEHEBATAN ANWAR



Mana penyelesaian Pemuda Umno untuk rakyat, Shahril Hamdan tanya perwakilan




KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan tertanya manakah penyelesaian kepada permasalahan rakyat daripada perwakilan Pemuda Umno yang selesai bersidang hari ini.

Pemuda Umno perlu lebih tangkas menawarkan idea baru, namun selepas Umno dan PAS menjalin muafakat nasional, sehingga kini tawaran untuk anak muda masih belum dilihat.

“Janganlah nanti 3 atau 4 bulan hendak pilihan raya umum baru hendak fikirkan mengenai manifesto dan panggil konsultan,” katanya dalam ucapan penangguhan sesi perbahasan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

“Banyak idea hingga mengelirukan dan susah hendak buat keputusan. Kemudian, kita longgokkan semua sekali tanpa satu naratif khusus. Belanja jutaan ringgit untuk cetak manifesto tetapi akhirnya tidak ke mana.”

Shahril berkata Pemuda parti Melayu terbesar itu perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang, kerana tanpa persediaan, tidak mustahil rakyat akan terus memilih Pakatan Harapan.

“Kalau kita tidak beri jawapan betul, tidak mustahil rakyat yang berat hati pun masih pangkah PH, sebab atas alasan PH masih baru, mereka pula baru menang sekali berbanding kita yang sudah diberi kuasa sebanyak 13 kali,” katanya.

Beliau mengingatkan Pemuda Umno akan bahaya Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim, orang yang disebut-sebut sebagai pengganti Dr Mahathir Mohamad.

Shahril berkata belum mustahil presiden PKR itu menjadi perdana menteri, dan Pemuda Umno harus waspada kerana Anwar tidak pernah sebut “manifesto bukan janji”.

“Ini bermakna, ada peluang untuk dia tunaikan janji-janji PH, kalau dia tunaikan, kita tidak bersedia, kita pula hanya berada di kelompok kita, ‘terduduk’ kita,” katanya.

“Bayangkan pinjaman PTPTN dimansuhkan, tol percuma dan BR1M dinaikkan, kita hendak buat apa.”

Menurutnya, kemenangan bergaya BN pada 4 pilihan raya kecil bukan disebabkan rakyat kembali yakin kepada BN, sebaliknya ia tanda protes terhadap Pakatan Harapan.

“Gelombang sekarang ini adalah gelombang orang marah dengan PH, bukan orang sayang dengan Umno,” katanya.

Beliau juga menyeru Pemuda Umno untuk tidak mentertawakan rakyat atas pilihan mereka pada pilihan raya umum lalu, “seolah-olah kita tidak ada kesilapan”.

“Saya khuatir rakyat susah hendak kembali kepada kita. Bagi saya, yang hak tetap hak dan yang batil tetap batil,” katanya.


No comments: