Kisah pertemuan DS Anwar Ibrahim dan DS Azmin Ali di Parlimen semalam.



Saya antara pimpinan parti yang hadir menyaksikan pertemuan serta terlibat dalam mesyuarat Biro Politik Khas tersebut.

Alhamdulillah, ia satu perbincangan yang baik dan sudah pasti mengukuhkan kekuatan parti disamping menangkis persepsi yang cuba diwujud musuh parti tentang kepimpinan.

Semestinya ada yang bertanya, apakah sebenarnya yang dibincangkan?

Secara ringkas, hampir keseluruhan pertemuan berkisar persiapan Kongres yang dimulakan dengan perasmian Kongres AMK dan Wanita malam ini.

Pimpinan telah bersetuju bahawa DS Azmin akan merasmikan malam ini, manakala YAB DS Dr Wan Azizah Wan Ismail akan merasmikan penutupan Kongres AMK dan Wanita petang esok.

Beberapa perkara lain telah dibincangkan, termasuk isu Pengerusi Tetap Kongres AMK, perwakilan AMK, dan juga pembahas Kongres Nasional pada hari Sabtu serta ucapan-ucapan penutup oleh pimpinan tertinggi parti pada Ahad.

Akhir sekali, isu pemantapan Majlis Pimpinan Pusat dibangkitkan dan pimpinan bersetuju bahawa fokus akan diberi kepada Kongres terlebih dahulu. Tiada perkara lain yang dibincangkan secara khusus selepas itu.

Mesyuarat ditutup dengan persetujuan bahawa saya selaku Pengarah Komunikasi akan bertemu media untuk mengumumkan perkara-perkara berkaitan Kongres yang telah dibincangkan itu.

Saya doakan pimpinan akan terus diberi kekuatan, kesabaran dan pandangan jauh agar dapat terus menggilap idealisme perjuangan, mengukuhkan disiplin parti, serta menzahirkan reformasi demi Malaysia yang lebih baik.

Pengarah Komunikasi KEADILAN.
FAHMI FADZIL.