Apa motif Yusoff fitnah Anwar?
Tindakan seorang individu membuat akuan bersumpah (SD) yang mendakwa dirinya telah diganggu secara seksual oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan tanda tanya.
Ia bukan sahaja dilihat sebagai permainan politik lapuk, namun secara jelas ia dilihat sebagai cubaan memburukkan imej Anwar terutama ketika isu peralihan kuasa Perdana Menteri dibangkitkan sebelum ini.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil turut mempersoal tindak tanduk individu dikenali sebagai Muhammad Yusoff Rawther itu yang membuat tuduhan tersebut ketika kongres parti itu mahu berlangsung.
“Jika betul ia berlaku, kenapa sepatah perkataan pun tak disebut selama setahun? Kenapa tunggu dua hari sebelum kongres?” soal Fahmi.
Yusoff dalam dakwaanya berkata, dia diganggu Anwar di kediaman Presiden KEADILAN itu pada 2 Oktober tahun lalu.
Anwar dalam satu kenyataan menafikan tuduhan itu dan menyatakan bahawa pada tarikh dinyatakan beliau berada di Port Dickson untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu sebelum ke kuala lumpur bagi menghadiri satu program dan kembali semula ke Port Dickson sebaik program itu tamat.
Malah lebih mengejutkan, keluarga Yusuf sendiri dalam satu kenyataan berkata, mereka percaya individu itu telah dimanipulasi pihak tertentu bagi memburukkan Anwar.
“Saya ada baca kenyataan dari ahli keluarganya… Dia datang dari keluarga yang dihormati, dari aktivis masyarakat sivil yang dihormati.
Dan saya fikir keluarganya sendiri sudah jarakkan diri daripadanya,” katanya Fahmi yang mengulas kenyataan keluarga individu tersebut.
Tambah Fahmi lagi, isu itu (dakwaan Yusoff) tidak timbul memandangkan keluarganya sendiri telah menyangkalnya, dan ketika insiden itu didakwa berlaku Anwar sibuk berkempen untuk PRK Port Dickson.
Ketika ditanya sama ada tindakan akan diambil, beliau berkata: “Apa tindakan yang perlu diambil? Buat masa ini saya fikir orang ramai boleh melihat (ia tidak benar). Kami ada kongres dan akan memberi tumpuan kepadanya.” tegasnya.
Difahamkan, satu laporan polis terhadap Yusoff akan dibuat, manakala peguam Anwar pula akan menghantar notis tuntutan terhadap individu tersebut.