Ada ulamak sanggup bersengkongkol dengan bossku – Mat Sabu

MGF06122019_MOHD-SABU-PERASMIAN-KONVESYEN-AMANAH26-1




Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sambil diiringi Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahudin Ayub (lima kiri) bersama Ahli Majlis Tertinggi Amanah bergambar sambil mengangkat tangan turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari (empat kanan) dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga kanan) pada majlis perasmian sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) melahirkan rasa hairan apabila terdapat segelintir agamawan khususnya daripada pembangkang didakwa tidak mempedulikan jenayah rasuah.
Presidennya, Mohamad Sabu mendedahkan, lebih mengejutkan apabila agamawan terbabit bersama dengan pemimpin yang terpalit dengan jenayah rasuah.
“Kita menjadi hairan sebahagian besar alim ulama di Malaysia tidak peduli hal rasuah, bukan sahaja tidak peduli bahkan bersekongkol dengan bossku.
“Ini paling pelik dalam dunia hatta haiwan di longkang dibendang pun akan tertawa melihat gelagat ini,” katanya berucap pada Pidato Presiden, Konvensyen Nasional 2019 Amanah di Pusat Konvensyen Darul Ehsan (IDCC), hari ini.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dipercayai merujuk kepada golongan ulamak daripada bekas parti Islamnya, sebelum ini.
Terdahulu Mohamad dalam pidatonya berkata, Amanah berpegang teguh dengan nilai agama, tidak hanya terkurung dalam institusi agama bahkan melibatkan keseluruhan pentadbiran negara.
“Ini termasuklah perjuangan untuk membebaskan negara daripada rasuah, layanan yang adil kepada seluruh masyarakat dan pembinaan modal insan yang berterusan yang akan membina kemajuan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, tidak hairanlah apabila banyak dunia Islam melakukan pelbagai salah laku apabila tiada kepedulian terhadap membenteras jenayah kolar putih itu.
“Sebab itu di dunia Islam, banyak salah laku, di antaranya orang Islam dan masyarakat Islam tidak peduli soal tadbir urus yang baik dan rasuah.
“Yang mereka peduli perkara-perkara lain. Inilah yang kita lihat berlaku hampir seluruh di dunia Islam sekarang.
“Kemajuan dunia sekarang ini berpindah dari barat ke timur, dari Eropah ke China, Korea dan Jepun, umat Islam masih berada dalam kancah pertarungan yang tidak kesudahan,” katanya lagi. –

No comments: