Anwar yakin lebih 75% perwakilan hadir kongres PKR



KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim yakin lebih 75% perwakilan akan menghadiri Kongres Nasional PKR pada hujung minggu ini, walaupun perpecahan dilaporkan berlaku dalam parti itu.

Ditanya jika timbalannya, Mohamed Azmin Ali menghantar wakil untuk mengadakan rundingan damai, presiden itu berkata, mereka berdua dalam keadaan baik.

“Perbincangan saya memang terbuka, hari-hari saya jumpa ahli Parlimen, ketua-ketua negeri dan saya tak kira daripada kumpulan mana (individu tersebut).

“Tapi tidak ada yang dikatakan perbincangan khusus agenda untuk berdamai kerana bagi saya, parti ini satu dan ada rangka perdamaian,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di Parlimen hari ini.

Anwar dijadual merasmikan Kongres Nasional PKR pada 7 Dis ini sebagai presiden parti buat julung kali dalam 20 tahun.

Bagaimanapun, ada khabar angin mengatakan satu lagi kongres akan dirasmikan Azmin secara berasingan pada masa sama,

“(Saya ada) dengar desas-desus, tapi saya tak layan. Yang penting siapa pun boleh buat pertemuan, program Kongres parti itu diputuskan oleh pimpinan di Melaka, yang lain itu tidak mewakili parti,” kata Anwar.

Walaupun timbul khabar angin perpecahan dalam PKR yang dimainkan media, beliau yakin pemimpin PKR matang dan berpengalaman untuk terus menyokong agenda reformasi parti.

Mengenai desakan Naib Ketua Pemuda PKR Lembah Pantai, Nazrin Idham Razali untuk usul undi tidak percaya terhadap presiden, Anwar berkata: “Saya tak dengar, tidak ada yang serius, kita ada ahli sejuta, satu dua orang boleh bagi pendapat, tidak ada masalah.”

Semalam, Nazrin dilaporkan berkata, tindakan “mencantas” kepimpinan yang menyokong Azmin membawa kepada perpecahan teruk “sehingga ramai menteri dan timbalan menteri PKR gagal menjalankan amanah dengan sempurna”.

Beliau dan sekumpulan pemimpin Pemuda PKR mendakwa Anwar selaku presiden gagal menjalankan amanah, menghormati mandat ahli dan menyempurnakan agenda reformasi.

No comments: