Tuesday, December 3, 2019

BUKAN TIDAK SABARNYA PENYOKONG ANWAR JADI MASALAH, TUN M YANG BERDOLAK-DALIK ITULAH PUNCA SEGALA MASALAH



Dalam tulisan di blognya semalam, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, A Kadir Jasin berkata, adalah lebih baik soal peralihan kuasa daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim diselesaikan oleh kedua-dua pemimpin itu saja.

Tambah beliau, campurtangan pihak lain boleh menjejaskan peralihan yang sudah dipersetujui itu.

Mengimbas kembali episod 1998 di mana Anwar dipecat oleh Tun Mahathir yang kemudiannya mencetuskan gelombang reformasi dalam negara, Kadir seterusnya menasihatkan Anwar agar mengawal para penyokongnya yang tidak sabar sekarang ini.
“Dan jika Anwar ada belajar apa-apa daripada episod itu, saya yakin dia perlu mengawal penyokongnya yang tidak sabar itu,” tegasnya lagi.

Ada beberapa persoalan timbul daripada tulisan beliau kali ini.

Pertama, tulisan Kadir ini dengan sendirinya mengesahkan pemecatan Anwar pada tahun 1998 itu bukanlah kerana masalah moral yang melingkari bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagaimana yang kerap didakwa oleh Tun Mahathir sebelum ini, tetapi semata-mata kerana ketakutan Perdana Menteri ketika kepada kehilangan kuasanya.

Dan ketakutan kepada kehilangan kuasa itu, sebagaimana digambarkan oleh Kadir, ternyata lebih membimbangkan Tun Mahathir berikutan ternampaknya sikap penyokong Anwar yang tidak sabar mahukannya menjadi Perdana Menteri.

Lantaran itulah, untuk kali ini Kadir menasihatkan Anwar agar mengawal para penyokongnya agar lebih bersabar menanti peralihan kuasa kepadanya menjadi kenyataan.

Benarkah kali ini penyokong Anwar tidak sabar?

Benarkah juga ketidaksabaran penyokong Anwar akan menjadi punca segala masalah dalam peralihan kuasa kali ini?

Kalau kita imbau kembali isu peralihan kuasa ini sejak awal lagi, masalah sebenarnya bukanlah berpunca daripada sikap atau gambaran para penyokong Anwar yang tidak sabar itu.

Sebaliknya, semua punca masalah adalah bermula daripada kenyataan demi kenyataan Tun Mahathir yang tidak konsisten dan berdolak-dalik mengenai peralihan kuasa itu.
Sebelum menang PRU dan sebelum kuasa berada dalam genggaman, Tun Mahathir sentiasa mengatakan beliau hanya mahu menjadi Perdana Menteri untuk tempoh selama dua tahun saja.

Malangnya, sebaik saja kuasa ada dalam tangan, nada suaranya mula berubah dengan keinginan berkuasa selama dua tahun tadi sudah bertukar menjadi dua tahun setengah, kemudian tiga tahun, seterusnya sehingga ekonomi pulih dan sebagainya.

Kenapakah beliau tidak boleh sentiasa setia dengan lafaz janji dua tahun itu sebagaimana setianya sepanjang kehidupan kepada isterinya, Tun Siti Hasmah Mohd Ali?

Dalam waktu yang sama, selain tidak konsisten dan berdalik-dalik berhubung tempohnya menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir juga melakukan beberapa tindakan yang mencurigakan seperti membawa masuk Azmin Ali menyertai kabinet dan menarik beberapa Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu.

Apakah istimewanya Azmin yang tidak pernah ada pengalaman di peringkat kerajaan persekutuan untuk dilantik sebagai menteri kanan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, walhal beliau telah diperkenan oleh Sultan Selangor untuk meneruskan khidmat sebagai Menteri Besar Selangor?

Dalam hal ini, di mana rasa hormat Tun Mahathir terhadap Sultan Selangor?

Selain itu, jika benar hanya mahu dua tahun memegang kuasa, untuk apa terus mengukuhkan kuasa dengan mengimport Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu?

Timbulnya perasaan tidak sabar di kalangan penyokong Anwar, sebagaimana yang didakwa oleh Kadir itu, kalau pun ia membimbangkan beliau dan Tun Mahathir, ia sebenarnya adalah reaksi kepada tindak-tanduk dan sikap dolak-dalik Perdana Menteri sendiri.

Maka itu, daripada Kadir mahu menasihatkan Anwar agar mengawal para penyokongnya yang tidak sabar itu, lebih baik, sebagai Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, beliau memberi nasihat kepada Tun Mahathir agar setia dengan lafaz janji yang diucapkan sebelum beroleh kuasa dan tidak berdolak-dalik dalam berkata-kata.

Seterusnya, patut juga Kadir menasihatkan Tun Mahathir agar mengawal sama para penyokongnya supaya berhenti mendesak Perdana Menteri untuk berkhidmat sehingga habis penggal.

Selain tindak-tanduk Tun Mahathir, sikap para penyokongnya yang tidak puas-puas itulah punca sebenar segala masalah dalam peralihan kuasa sekarang ini. 

(ShahbudinHusin 03/12/2019)

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers