PRK Tanjung Piai: MB Johor yakin peluang cerah
Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal yakin Pakatan Harapan boleh mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai berdasarkan culaan undi yang dilakukan petugas kempen.
Beliau juga mengharapkan mendapat majoriti yang lebih selesa berbanding sekitar 500 undi sebelum ini.
“Kita harap (boleh dapat) lebih (majoriti) sebab kita sekarang adalah kerajaan.
“Setakat ini, kempen terus berjalan dengan agresif dan kita ingin pastikan masyarakat di bawah sana, orang-orang kampung tahu bahawa pentingnya dan perlunya mereka sokong kerajaan sekarang.
“Semalam pun ada ceramah mega di mana Anwar Ibrahim (Presiden PRK) dan pimpinan parti yang datang, saya lihat mendapat sambutan dan respons yang sangat positif jadi berdasarkan kaji selidik terkini, insya-Allah saya cukup yakin kerajaan PH dapat kekalkan kerusi di Tanjung Piai,” kata Sahruddin, yang juga Pengarah Jentera PH bagi PRK Tanjung Piai.
Sahruddin berkata demikian kepada pemberita selepas temubual khas Seleksi Konti Radio RTM sempena Pra-Belanjawan Johor 2020 di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, semalam.
Sementara itu, Menteri Besar Johor berkata kerajaan negeri akan sentiasa berusaha menyelesaikan masalah-masalah dan isu yang timbul demi kesejahteraan masyarakat di kawasan terbabit.
Ketika ditanya dakwaan mengenai masyarakat India terpinggir ketika kempen PRK kali ini, beliau menafikan kenyataan itu, sebaliknya menjelaskan telah melantik dua pegawai khas berbangsa India untuk menjaga kepentingan kaum itu di negeri ini.
Pelantikan mereka sekali gus menunjukkan kerajaan negeri mengambil berat mengenai kepentingan kaum India di Johor.
Sahruddin turut menambah kombinasi exco dan pegawainya yang berbilang kaum disifatkan sebagai terdiri daripada cina dan india merupakan kombinasi terbaik.
“Kita tidak mahu seseorang hanya fokus sesuatu tempat sebagai contoh saya di Bukit Kepong, jadi saya fokus Bukit Kepong sahaja. Exco dan pegawai saya hendaklah fokus kepada seluruh negeri Johor, jadi tidak ada isu yang mengatakan masyarakat India tertinggal,” kata beliau.