ANWAR LEBIH BERWIBAWA DARI KULI YANG BERPATAH BALIK



Berkata Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Tun Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.
Kata beliau, Tun Mahathir tidak akan berbuat demikian kerana tidak percaya kepada Presiden PKR itu.
“Saya fikir beliau tidak mahu berikan kepada sesiapa yang tidak boleh dipercayai sepenuhnya kerana orang yang menggantikannya akan mencari salahnya di kemudian hari,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.
Habis, kalau Tun Mahathir tidak akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar kerana tidak mempercayainya, kepada siapa jawatan itu mahu diserahkannya?
Siapakah yang akan dipercayai oleh Tun Mahathir selain daripada Anwar?
Adakah Ku Li yang lebih dipercayai oleh Tun Mahathir berbanding Anwar?
Untuk makluman Ku Li, soal menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada pengganti dalam era PH ini bukan bergantung kepada percaya atau tidak seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa sebagaimana zaman BN dahulu.
Pengganti Perdana Menteri dalam era PH adalah ditentukan oleh Majlis Presiden yang membuat keputusan mengenainya.
Dalam soal Anwar sebagai pengganti kepada Tun Mahathir, perkara itu sudah pun dipersetujui secara konsensus sebelum PRU14 lagi.
Bermakna, soal Tun Mahathir percaya atau sebaliknya, bukanlah perkara pokok lagi.
Yang penting ialah kepercayaan dan keyakinan Majlis Presiden PH terhadap Anwar.
Sehingga ini, perkara itu tidak pernah berubah, malah Tun Mahathir sendiri kekal berpegang kepada janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya sekarang kepada Anwar.
Maka, apa yang Ku Li perlu risau sangat?
Dalam erti kata lain, selaku Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Ku Li sebetulnya lebih perlu risau mengenai masa depannya sendiri berbanding masa depan Anwar.
Setidak-tidaknya masa depan Anwar sudah pun ada dalam ketetapan Majlis Presiden yang hanya menunggu masa saja untuk tarikh perlaksanaannya. (ShahbudinHusin 12/11/2019)