MAZA kecam pihak sekongkol pengkhianat negara
Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyelar pihak yang terlibat dalam apa yang didakwanya sebagai “pengkhianatan kepada negara”.
Melalui satu status dikongsikan di laman Facebooknya siang tadi, Asri turut mengkritik pihak-pihak yang bersekongkol dan menutup mata atas perbuatan itu.
“Mengambil harta secara tidak sah, menipu laporan audit, cuba menghapuskan bahan bukti, memaksa orang lain menipu, menipu kerajaan dan rakyat, memecat orang yang inginkan ketelusan, kemudian masih berterusan menipu.
“Jika itu bukan satu pengkhianatan kepada negara, maka tiadalah lagi istilah ‘khianat’ dalam dunia ini.
“Bersekongkol dengan individu seperti ini bererti bersekongkol dengan pengkhianatan,” tulisnya di Facebook.
Walaupun tidak secara jelas menjelaskan status itu ditujukan kepada siapa, namun dipercayai ia merujuk kepada pendedahan seorang saksi di Mahkamah dalam kes jenayah membabitkan seorang bekas pemimpin negara semalam.
Semalam Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus), Jabatan Audit Negara Nor Salwani Muhammad mengaku di mahkamah bahawa dia menyimpan salinan asal audit 1MDB yang diarah musnah di era pentadbiran lama.
Salinan itu kini dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang dituduh mengarahkan pindaan ke atas laporan audit syarikat pelaburan negara penuh kontroversi itu.
Salwani juga bertindak mencuri rakam perbincangan antara pegawai tertinggi kerajaan dan 1MDB pada 2016 yang menjadi bukti dalam perbicaraan yang mana dia dipanggil menjadi saksi.
Tindakanya itu disifatkan ramai oran sebagai berani dan sangat dihormati.