Tujuan pertemuan 17 Ahli Parlimen UMNO yang diketuai Hishammuddin Hussein dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali akhirnya didedahkan oleh Tun Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri menjelaskan, beliau diberitahu oleh Azmin bahawa 17 Ahli Parlimen UMNO berkenaan mengadu tentang UMNO yang ketika ini sudah hilang arah tuju.
“Saya tanya Azmin apa dia bincang, dia kata orang UMNO ini, mereka sudah ‘hilang parti’, tidak tahu hendak buat apa.
“Mereka tanya sama ada hendak masuk parti lain atau tidak.
“Ada yang membuat kenyataan mereka menyokong saya sebagai Perdana Menteri,” ujar Tun Mahathir lagi.
Dengan ini bermakna, kata-kata Azmin sebelum ini bahawa pertemuan itu hanya pertemuan biasa dan tidak ada apa-apa yang luar biasa, ternyata tidak benar sama sekali.
Di mana biasanya pertemuan itu apabila 17 Parlimen UMNO, termasuk Hishammuddin yang sudah lama menjadi wakil rakyat dan pernah menjadi menteri kanan, tiba-tiba datang mengadu kepada Azmin yang baru 18 bulan menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi?
Sudah tentu, kedatangan bersama keluhan UMNO sudah hilang arah itu ada maksud besar yang tersembunyi di sebaliknya.
Juga, dengan penjelasan Tun Mahathir ini, turut tidak benar kata-kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamaruddin Jaafar bahawa pertemuan itu hanya untuk mendengar taklimat berkenaan Dasar Kemakmuran Bersama.
Termasuk tidak benar adalah kenyataan Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang menjelaskan Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu bertemu Azmin berkaitan projek pembangunan di kawasan masing-masing.
Yang ternampak ada benarnya ialah keraguan Najib Razak berhubung pertemuan yang diadakan di rumah Azmin dan diadakan pula pada waktu malam.
“Ia boleh menimbulkan pelbagai tafsiran dan keraguan,” kata beliau.
Begitu pun, berikutan pendedahan Tun Mahathir berhubung pertemuan itu, Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa tetap yakin 17 Ahli Parlimen berkenaan masih setia kepada UMNO.
“Saya yakin Ahli-Ahli Parlimen BN yang diundang ke rumah Azmin baru-baru ini adalah anggota parti yang setia.
“Sebahagian dari mereka ada memaklumkan kepada saya sebelum mereka pergi.
“Azmin atur pertemuan itu, menggunakannya untuk membodek Perdana Menteri sebagai langkah menyelamatkan dirinya,” kata Annuar melalui laman Twitternya.
Apa pun persoalannya, 17 Ahli Parlimen berkenaan perlu segera tampil untuk menjernihkan kekeliruan.
Jika benar mereka melihat UMNO sudah hilang arah, segeralah buat pilihan.
Buat apa masih duduk dalam UMNO, jika percaya parti itu tiada arah tuju lagi?
Sebaliknya, kalau ingin kekal dalam UMNO, janganlah begitu mudah menjual dan menjaja “harga diri” seolah-olah tiada maruah lagi?
Kalau berterusan tiada ketentuan, malulah sikit kepada pengundi yang mengundi mereka dalam PRU14 dulu!!! (ShahbudinHusin 22/11/2019)m