Tuduhan palsu terhadap Guan Eng: DAPSY gesa Tuan Ibrahim mohon maaf



Kenyataan Media oleh Setiausaha Sosialis Muda DAP (DAPSY) Teh Hoong Keat pada 20hb November 2019 di Kuala Lumpur
Setiausaha Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY), Teh Hoong Keat menggesa Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man membuat permohonan maaf kepada Sdr Lim Guan Eng kerana membuat tuduhan palsu terhadap Menteri Kewangan.

Semasa Sdr Lim Guan Eng menerima lantikan sebagai Menteri Kewangan, beliau ada menegaskan bahawa beliau adalah menteri yang menjaga dan mempertahankan kepentingan semua rakyat Malaysia. Beliau dilantik atas dasar kebolehan dan keupayaan beliau dalam hal ehwal pengurusan kewangan berdasarkan prestasi beliau sewaktu menerajui Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri.

Teh berpendapat bahawa semua tuduhan yang dilemparkan terhadap Sdr Lim Guan Eng adalah fitnah dan langsung tidak berasas. Jelasnya, sesetengah pihak sengaja memainkan sentimen perkauman dengan niat untuk melihat Sdr Lim Guan Eng disingkirkan daripada barisan Kabinet.

Tuan Ibrahim berbohong dan membuat tuduhan palsu apabila mendakwa Belanjawan 2020 memperuntukkan sejumlah RM10 bilion untuk Pulau Pinang bagi tujuan pembangunan dan hanya memperuntukkan RM10 juta untuk rancangan atau inisiatif industri halal. Sdr Lim Guan Eng telah menjelaskan bahawa dalam Belanjawan 2020, kerajaan Pakatan Harapan telah memberikan geran pembangunan RM799.5 juta kepada Pulau Pinang, bukannya RM10 bilion seperti yang didakwa Tuan Ibrahim. Malah, kerajaan Pakatan Harapan juga telah memperuntukkan RM125.2 juta untuk rancangan atau inisiatif industri halal, dan bukannya RM10 juta seperti yang didakwa pemimpin PAS itu.

Kata Teh lagi, kerajaan perlu memainkan peranan yang serius dalam mengekang sebarang sentimen perkauman atau tuduhan palsu daripada terus berleluasa, lebih-lebih lagi jika ia digunakan pihak tertentu sebagai modal politik mereka. Jika tidak, mereka yang bersikap oportunis dan golongan yang memainkan sentimen perkauman seperti ini pasti akan mengambil kesempatan untuk terus-menerus menghasut rakyat! Kerajaan baharu perlu menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan reformasi dan tidak berkompromi terhadap pihak yang memainkan sentimen perkauman dan tuduhan palsu.

Teh turut menggesa kerajaan supaya tidak sesekali mengambil pendekatan berlembut terhadap fenomena ekstremisme, kerana membiarkan perkara ini terus berleluasa hanya akan mengakibatkan sentimen perkauman semakin menjadi-jadi. Apa jua bentuk sentimen perkauman, politik perkauman dan dasar perkauman adalah ibarat batu yang menghalang kemajuan dan perpaduan negara ini.

Arah demokrasi jelas terlihat selepas Malaysia melangkah ke alaf baharu setelah melakar peristiwa bersejarah pada 9 Mei 2018. Selain kemajuan ekonomi, kerajaan juga perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa ia mempunyai kesungguhan dalam melakukan reformasi dengan mempromosikan dan melaksanakan nilai yang betul, supaya rakyat yang hidup dalam era Malaysia Baharu ini tidak bermusuhan disebabkan kaum, agama, bahasa atau latar belakang. Kerajaan harus bekerja keras mempertahankan kepentingan setiap kaum dan membentuk Malaysia yang memberikan layanan sama rata kepada setiap kaum serta menghapuskan diskriminasi kaum. 

No comments: