Projek lama belum siap, BN tabur janji baru di Sarawak


BAU, 21 OGOS: Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan asas seperti sekolah, jalan raya, bekalan air serta elektrik kepada penduduk setempat tanpa mengira mana-mana parti yang mewakili kawasan tersebut.
Sehubungan itu, kata Pengerusi DAP Tasik Biru, Mordi Bimol, Barisan Nasional (BN) tidak harus menggunakan modal pilihan raya umum (PRU) bagi melaksanakan janji berhubung pembinaan kemudahan asas di Sarawak.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep yang menyatakan bahawa pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jagoi mungkin diluluskan jika BN kekal menguasai Mas Gading.
Kerusi Mas Gading merupakan kerusi Parlimen yang disandang pemimpin Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Nogeh Anak Gumbek yang juga Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani.
“Saya ingin mengingatkan Datuk Henry bahawa pendidikan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan iaitu Barisan Nasional,” kata Mordi dalam kenyataan, baru-baru ini.
“Tidak kira sama ada wakil rakyat yang dipilih adalah dari parti apa, menyediakan kemudahan asas seperti sekolah, jalan raya dan akses kepada bekalan air bersih dan bekalan api semuanya juga adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.”
Menurut Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak itu, SMK Singai yang terbengkalai pembinaannya dan dijangka hanya akan siap pada 2019 harus diberi perhatian terlebih dahulu oleh kerajaan BN sebelum menabur janji yang lain kepada rakyat negeri itu.
“Bukan itu sahaja, sekolah rendah baru di Kampung Suba Buan adalah antara contoh jelas janji pilihan raya di Tasik Biru tahun lepas yang belum ditunaikan.
“Kepada Henry, pastikan BN tunaikan janji tersebut dahulu. Pastikan projek itu siap sebelum berlagak menabur janji dan memperbodohkan bangsa sendiri,” ujarnya.
Katanya beliau yakin pembinaan SMK Singai dan sekolah lain yang terbengkalai dapat disiapkan dengan segera jika Pakatan Harapan (HARAPAN) dapat mengambil alih tampuk pemerintahan daripada BN.
“Sekiranya BN rasa tidak mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut, biarlah anak muda seperti saya membawa suara rakyat ke Parlimen,” tegasnya. 

No comments: