Sokongan 1% pengaruh Amanah di Kelantan tidak tepat
Pada zaman semua pihak berhak mengkaji dan begitu banyak dapatan kajian jauh tersasar dari realiti, AMANAH tidak perlu terkejut dengan dapatan kajian Institut Darul Ehsan (IDE) seperti yang sedang ditularkan.
“Semua pihak bebas membuat kajian dan memaklumkan hasil kajian masing-masing, tetapi mereka tidak boleh memaksa pihak lain menerima kajian tersebut sebagai sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan,” kata Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed.
Beliau mengulas mengenai satu kaji selidik IDE yang mendapati AMANAH hanya mendapat satu peratus sokongan daripada rakyat.
Dapatan kajian itu didedahkan sendiri oleh Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran, Perancangan & Jaringan Global) Unisel, Prof Dr Mohd Nor Nawawi.
Mengulas lanjut, che Ibrahim berkata, dunia baru saja dikejutkan dengan dapatan kajian yang salah untuk pilihan raya di Indonesia dan Amerika Syarikat.
“Kemenangan Donald Trump di Amerika berlawanan dengan dapatan pengkaji kelas dunia manakala pemilihan gabenor Jakarta antara Anies dan Ahok yang telah berpihak kepada Anies, walau pun dapatan kajian mengatakan Ahok jauh mendahului Anies,” katanya.
Sebagai sebuah parti yang baru katanya, AMANAH tidak dapat mengelakkan diri dari pelbagai kritikan dan pandangan yang berbentuk pro dan kontra.
“Lebih-lebih lagi kita masih berada dalam sistem demokrasi yang belum masih terikat dengan tradisi dan amalan politik sempit.
“Parti parti lama sememangnya sukar menerima kewujudan parti baru yang dikira boleh menyaingi dan mencabar persaingan mereka untuk mendapat sokongan masyarakat,” katanya.
Menurutnya seringkali kajian yang dibuat dipengaruhi oleh sentimen tertentu dan dapatan yang diumumkan sengaja dimanipulasi untuk menyenangkan hati sebelah pihak.
“Atau ada tujuan lain di sebaliknya seperti sebagai melobi untuk pembahagian kerusi dan penentuan calon,” katanya.
Keyakinan Amanah katanya, setiap parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) ada kekuatan dan kelebihan masing masing.
“Kekuatan dan kelebihan setiap parti ini, jika gagal diadunkan dengan baik atau disalahgunakan, akan membawa padah kepada PH.
“Sebaliknya jika kekuatan dan kelebihan yang dimiliki oleh setiap parti dalam PH dimanfaatkan dengan sepenuhnya, iannya boleh menutup kelemahan dan kekurangan yang ada dalam setiap parti yang bergabung,” katanya.