Amanah Kelantan 1% sokongan: Keluar dari logik akal
Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusuff mempersoalkan kewajaran hasil kaji selidik Institut Kajian Darul Ehsan (IDE) menyatakan Parti Amanah Negara (AMANAH) hanya mendapat satu peratus sokongan rakyat terhadap parti yang baru dua tahun ditubuhkan itu.
Beliau berkata dapatan daripada kajiselidik dilakukan yang dikatakan secara konsisten itu dakwanya tidak masuk akal.
“Apabila ada ilmuan dengan bersandarkan kepada hasil kaji selidik menyatakan Amanah hanya ada 1% sokongan rakyat, saya rasa itu sudah terkeluar dari logik akal.
“Melainkan yang dikaji itu sampelnya dikutip di kawasan pedalaman atau kajian itu adalah di Sabah dan Sarawak,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau mengulas mengenai dakwaan Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran, Perancangan & Jaringan Global) Universiti Selangor (UNISEL) Prof Dr Mohd Nor Nawawi pada Rabu, yang mendedahkan bahawa AMANAH hanya mempunyai kira-kira 1% sokongan sebagaimana kaji selidik IDE.
Kata Prof Dr Mohd Nor orang-orang Melayu masih belum tertarik kepada AMANAH dan dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) itu dakwanya lagi adalah konsisten.
Justeru menurut Prof Agus lagi sebahagian masyarakat masih lagi jauh dari sudut realiti.
“Merenung ke depan, saya terfikir kenapalah kita semakin jauh dari dunia realiti.
“Mengkajilah dengan metod yang betul supaya hasil kajian kita dihormati,” ujarnya.
Bahkan menurut beliau lagi, beliau boleh menerima jika dikatakan Amanah lemah tidak kuat dan tiada sokongan.
“Saya boleh terima jika hendak kata Pas kuat dan punyai sokongan akar umbi yang mantap.
“Saya boleh terima kalau PKR mahu bekerjasama dengan Pas.
“Saya boleh terima kalau Umno mahu bekerjasama dengan Pas.
“Semua kenyataan di atas pada saya masuk akal biarpun saya mempunyai pandangan yang berbeza,” ujarnya.
Dapatan IDE itu juga di komen oleh Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (Mapan) UNiversiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Yusoff pada Jumaat yang dipetik berkata, AMANAH perlu fikir semula mengenai kelangsungan perjuangan parti itu dan apakah perlu Amanah wujud atau pun tidak dalam politik Malaysia.
Malah pada Sabtu dakwaan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dipetik berkata, sebagai parti serpihan Pas, awal penubuhan AMANAH akan mendapat sambutan tetapi ia tidak bertahan lama.
Sebaliknya ujar Takiyuddin lagi,sejarah menunjukkan pengundi memilih parti-parti yang dominan, parti-parti yang mempunyai dasar perjuangan yang jelas yang akan menjadi pilihan rakyat.
Beliau turut mengesahkan bahawa ramai di kalangan ahli AMANAH telah membuat ‘pusingan U’ dengan berpatah balik kepada Pas. – MD