PH akan daftar logo, peluang lebih baik PRU 14
Pakatan Harapan akan menghantar permohonan mengenai logo gabungan 4 parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam masa 2 minggu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu mendapat persetujuan kesemua anggota gabungan iaitu PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Parti Amanah Negara.
“Dipersetejui perlembagan kita dan juga kita akan ada jawatan yang akan dipenuhi oleh semua parti daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM,” katanya yang mempengerusikan mesyuarat Pakatan Harapan di ibu pejabat PPBM hari ini.
Wan Azizah yang juga presiden PKR berkata, mereka juga akan memberikan pandangan terhadap penerimaan awam mengenai logo berkenaan.
“Terutama mereka yang mengundi, dan memberikan tarikan kerana ini adalah penting dalam sejarah negara kita, politik negara kita adalah satu masa depan yang baik dan cerah.
“Dan apabila kita memberikan 1 logo dan harapan yang baru, saya kira rakyat akan menerima dengan baik dan juga penting untuk kami menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang,” katanya. – FMT