Kadar pertumbuhan gaji rendah, kos hidup tinggi


Pecahan daripada pendapatan keseluruhan negara menyatakan bahawa hanya sekitar 34.8 peratus sahaja yang diagihkan kepada golongan pekerja dan selebihnya kepada golongan korporat dan kerajaan (melalui cukai) - Gambar hiasan Pecahan daripada pendapatan keseluruhan negara menyatakan bahawa hanya sekitar 34.8 peratus sahaja yang diagihkan kepada golongan pekerja dan selebihnya kepada golongan korporat dan kerajaan (melalui cukai) - Gambar hiasan
Pakatan Harapan berpendapat kerajaan BN cuba menutup kelemahan besar polisi berkaitan kebajikan golongan pekerja sehingga kadar pertumbuhan gaji di negara ini jauh lebih rendah berbanding kadar produktiviti dan peningkatan aset hartanah.
"Lebih malang lagi, pecahan daripada pendapatan keseluruhan negara menyatakan bahawa hanya sekitar 34.8 peratus sahaja yang diagihkan kepada golongan pekerja dan selebihnya kepada golongan korporat dan kerajaan (melalui cukai).
"Keadaan ini membuktikan wujudnya masalah gaji di negara kita. Ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga rumah yang meningkat, pekerja hari ini semakin tertindas dengan kekurangan pemilikan aset serta jurang kekayaan yang semakin melebar," dipetik daripada kenyataan bersama pemimpin PKR, Amanah dan DAP.
Kelemahan sistem pendidikan juga, tegas mereka, menyebabkan majoriti pekerja di negara ini merupakan lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan ke bawah dengan hanya sekitar 28 peratus golongan pekerja yang berpengalaman melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
"Keadaan ini dikaitkan dengan pendapatan rakyat Malaysia yang rendah. Kelulusan pendidikan pada tahap-tahap tertentu begitu penting di Malaysia dalam memasuki alam pekerjaan.
"Pekerja tidak mahir di Malaysia seringkali ditindas dengan pendapatan kecil, bahkan terpaksa bersaing dengan enam juta pekerja asing yang sebahagian besarnya adalah pendatang asing tanpa izin (PATI)," jelas kenyataan tersebut hari ini.
PKR yang diwakili Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani berkata, pada masa sama hanya lapan peratus pekerja di Malaysia bernaung dengan mana-mana kesatuan pekerja sekaligus bukti kerajaan BN kurang memberi perhatian pada kebajikan golongan pekerja.
"Kerajaan tidak memberikan insentif atau menekankan keperluan wujudnya kesatuan pekerja yang berusaha menjaga kebajikan ahli mereka.
"Daripada perspektif lain, kesatuan sekerja seharusnya lebih progresif dan inovatif dalam menuntut hak pekerja, bukannya membawa idea-idea lama seperti menaikkan usia persaraan.
"Dalam era industri, keperluan kesatuan pekerja perlu dititikberatkan dan dilindungi. Majikan harus memahami dan menerima kesatuan pekerja secara terbuka kerana merekalah yang menyumbang tenaga, masa dan idea untuk menggerakkan organisasi yang menyumbang pendapatan kepada majikan itu sendiri," ujarnya.
Turut disokong Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil kenyataan tersebut menegaskan kerajaan BN kurang memberi penekanan kepada isu diskriminasi dalam pekerjaan terutama melibatkan etnik dan gender.
"Kajian menunjukkan berlakunya keadaan ini disebabkan oleh penguasaan sesuatu etnik dalam sektor pekerjaan awam dan swasta.
"Manakala, kebajikan pekerja wanita termasuk peluang menjawat portfolio pengurusan tertinggi sepatutnya diambil berat oleh kerajaan," dipetik daripada kenyataan itu hari ini yang juga disertai Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago.
Sehubungan itu, mereka menyifatkan permasalahan yang berlaku dalam industri pekerja hari ini jelas menunjukkan kegagalan kerajaan BN dalam memperjuangkan kelas pekerja.
"Dengan 90 peratus pendapatan isi rumah di negara Malaysia bersumberkan gaji dan hasil perniagaan peribadi, persekitaran ekonomi yang semakin mencabar dan tatakelola buruk BN akhirnya memangsakan golongan pekerja. 
"Jadikan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada kali ini sebagai jalan untuk mereformasikan industri pekerja di Malaysia dalam meniupkan semula semangat internasionalisme 1 Mei yang sudah sekian lama diabaikan oleh kerajaan Umno-BN," tegas kenyataan bersama itu lagi.