Himpunan Muafakat Malaysia bermula 23 Mac – Mat Sabu
Pakatan Harapan akan mengadakan Perhimpunan Muafakat Malaysia bermula pada 23 Mac ini, kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.
Menurutnya, perhimpunan pertama akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, manakala perhimpunan berikutnya akan diadakan di Gelang Patah, Johor, pada 16 April dan di Kedah pada 7 Mei.
Mohamad berkata jemputan perhimpunan pada 23 Mac itu telah dilanjutkan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Umno yang digantung Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.
Melalui perhimpunan itu, Harapan menggariskan tiga tuntutan utama iaitu melakukan pembaharuan institusi, menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan dan mendapatkan kebebasan mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan.
Sementara itu, Mohamad berkata Harapan juga akan menganjurkan bantahan terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2 April di Dataran Merdeka.
“Tema protes adalah ‘Undur Najib, Mansuh GST’ (Down with Najib, abolish GST),” katanya.
Beliau menambah bahawa akan ada acara kemuncak untuk acara anti-GST pada 31 Mei di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, yang menampilkan semua pemimpin Pakatan Harapan.
Ditanya berapa ramai hadirin beliau yang dijangka hadir perhimpunan itu, Mohamad hanya berkata: “Banyak”