GAMBAR YANG BERBICARA


 

 

Izzah tidak berhasrat bertemu Jacel Kiram


KUALA LUMPUR 22 November- Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menegaskan beliau tidak pernah berhasrat bertemu anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Sebaliknya, katanya, Jacel Kiram merupakan sebahagian tetamu yang hadir pada satu program di Manila 9 November lalu dan beliau cuma diajak bergambar dengannya.

n_izzah 

“Di sini saya ingin menegaskan bahawa saya tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dan tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram.

“Dia merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina,” jelasnya dalam kenyataan media semalam.

Menurut Izzah, semua yang hadir program itu bergambar dengan beliau sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara PBB yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta.

“Saya tahu dan faham ahli-ahli keluarga patriot dan perajurit yang terkorban akibat pencerobohan Lahad Datu dan rakyat Malaysia amnya cukup terasa dan marah akibat gambar saya dan Jacel Kiram.

“Saya berasa amat kesal atas hakikat ini.

“Simpati dan sokongan saya dari dulu hingga bila-bila adalah kepada para perajurit pahlawan negara yang terkorban serta komuniti-komuniti yang masih terkesan akibat konflik ini serta desakan puak pemisah,” ujarnya.

Izzah berkata, sebagai Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang setia kepada negara, beliau akan sentiasa mempertahan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang tercinta.

Beliau menegaskan tiada apa yang hendak disembunyikan dan  bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjelaskan lawatan ke program tersebut.


No comments: