Siap sedia ke Himpunan #KitaLawan 1 Mei

Siap sedia ke Himpunan #KitaLawan 1 Mei

Himpunan #KitaLawan 28.03.2015 telah berlangsung dengan aman dan penuh semangat. Siri tangkapan dan kekerasan terhadap pimpinan rakyat dan aktivis menjelang perhimpunan ternyata langsung tidak memberi tekanan kepada anak muda untuk menyuarakan isu-isu rakyat, malah kami hadir dalam suasana harmoni sebagai simbolik untuk meraikan perkahwinan terulung negara sebelum pelaksanaan GST.

Selepas menerima pelbagai ugutan dan tindakan kekerasan, semalam telah terbukti bahawa #KitaLawan merupakan gerakan anak muda yang akan kekal menjadi igauan dan mimpi ngeri mereka yang zalim dan salah guna kuasa.
Kitalawan 

Walaupun pergerakan Himpunan semalam terbantut kerana KLCC telah dikepung polis, kami mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan yang bertugas semalam. Ternyata arahan Ketua Polis Negara (IGP) untuk kerahan anggota maksima semalam memberi gambaran sebenar ketakutan Najib Razak dan terpisahnya kehidupan beliau yang penuh kemewahan disebalik kerakusan kuasa dengan realiti kehidupan rakyat biasa yang dihantui dengan kesusahan dan kesengsaraan.

Himpunan semalam yang bersurai dengan aman turut memberikan kemenangan kepada anak muda. Pihak polis telah bersiap sedia untuk melakukan tangkapan besar-besaran dan seolah-olah mengharapkan akan berlakunya kekecohan ternyata hampa. Ini jelas telah mengecewakan IGP yang telah hilang pedoman bagaimana untuk menghentikan semangat #KitaLawan yang terus meningkat bukan sahaja menuntut perletakkan jawatan Najib Razak tetapi juga lantang bersuara agar beliau dipecat sebagai Ketua Polis Negara.

Kebuntuan dan kekecewaan IGP adalah amat jelas. Selepas rakyat berhimpun dan bersurai secara aman, beliau masih ingin melakukan tangkapan sebagai peringatan kepada rakyat bahawa beliau masih relevan dan berkuasa. Syabas kepada Fariz Musa, Khalid Samad, dua mahasiswa yang ditangkap kerana memakai baju hitam dan lebih ramai aktivis yang akan ditangkap selepas ini. Tangkapan mereka adalah symbol dan manifestasi keberanian anak muda melawan pemerintah yang zalim yang terus menerus menindas rakyat biasa.

Walaupun anak muda terus ditekan, rencana #KitaLawan akan terus diperhebatkan. Selagi Anwar Ibrahim tidak dibebaskan, selagi Najib Razak tidak berundur, selagi Khalid Abu Bakar tidak dipecat dan selagi kerakusan GST tidak dihentikan, kami anak muda akan terus lawan. Kami percaya kebangkitan anak muda ini mendapat dokongan dan sokongan rakyat Malaysia.

#KitaLawan akan terus bina kekuatan dan kami akan terus merencanakan isu-isu rakyat. Maka, Sekretariat menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersiap sedia turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada Himpunan #KitaLawan 1 Mei 2015.

Lagi ditekan, lagi #KitaLawan
29 MAC 2015
SEKRETARIAT #KITALAWAN


No comments: