Polis tahan Fariz Musa, Khalid Samad selepas Himpunan #KitaLawan

Polis tahan Fariz Musa, Khalid Samad selepas Himpunan #KitaLawan

KUALA LUMPUR 29 MAC: Himpunan #KitaLawan yang berjalan lancar tanpa gangguan polis lewat petang semalam akhirnya dicemari dengan tangkapan polis ke atas Setiausaha Pengelola KEADILAN, Fariz Musa yang mengetuai barisan 3,000 peserta dalam himpunan itu.
OLYMPUS DIGITAL CAMERABeliau merupakan tangkapan pertama peserta himpunan tersebut.
KEADILAN dalam kenyataan memberitahu, Fariz yang juga Koordinator Jingga 13 ditangkap di bawah Akta Hasutan sebaik himpunan itu tamat.

Difahamkan beliau sekarang berada di IPK Kuala Lumpur, dan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk disoal siasat.

Polis meneruskan tangkapan kedua pada 3.20 pagi ini ke atas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, juga mengikut Akta Hasutan berhubung perhimpunan #KitaLawan, di rumahnya di Shah Alam.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Khalid yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Semalam, beberapa jam sebelum himpunan itu berlangsung, polis menahan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula ditahan awal pagi Sabtu berhubung Himpunan #KitaLawan di Pulau Pinang selepas menghadiri mesyuarat parti di peringkat negeri itu.

Beliau bagaimanapun dibebaskan pada 11.30 malam tadi selepas ditahan hampir 23 jam tanpa sebarang pertuduhan.

Jumaat lalu, polis menahan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya menyeru ahli parti itu menyertai Himpunan #KitaLawan yang diadakan semalam.

Pada sebelah malam pula, aktivis Hishamuddin Rais ditahan selepas ‘diculik’ dan dibawa ke IPD Dang Wangi sebaik sahaja tiba di Dataran Merdeka untuk menghadiri program ceramah #KitaLawan.
Rafizi dan Hishamuddin ditahan reman semalam tiga hari.

No comments: