HJ HADI YANG TAK PEKA BERPOLITIK

Abdul Hadi yang membingungkan

ULASAN MALAM                                                                                

Kenyataan Abdul Hadi Awang yang dilaporkan Bernama hari ini sesuatu yang menyedihkan tetapi ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Pendirian songsang yang diambil Abdul HAdi berhubung politik Anwar Ibrahim bukan pertama kali berlaku.

Abdul Hadi: Sangat mahir fikh politik?
Hari ini Abdul Hadi dilaporkan menyokong Khalid Ibrahim terus menjadi MB Selangor. Kenyataan yang bertentangan dan bercanggah sekaligus menempelak Anwar Ibrahim yang ingin menukarkan MB Selangor dengan menamakan isterianya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ulah-ulah sebegitu, percanggahan dan nada tidak seirama beliau dengan Anwar sudah kerap berlaku. Penerimaan Pas kepada Anwar sejak Abdul Hadi menerajui Pas tidak selendik dan seindah zaman Fadizil Mohd Noor menjadi presiden. Mungkin perkelidahan atau percanggahan Pas dengan Anwar tidak akan berlaku kalau pemikiran dan siasah Fadzil dihayati.

Sebelum ini keadaan yang sama wujud beberapa kali dan inilah menyebabkan kenyataan "lailatu qadar" Abdul Hadi itu tidak begitu mengejutkan lagi. Bahkan orang akan merasakan pelik kalau Abdu Hadi tidak koner perahu di hujung pelayaran. Kalau anda seorang penganalisa kepada politik Abdul Hadi tidak akan merasa ganjil sedikit pun, jauh sekali akan terkejut dengan aksi politik fikhnya. Beliau seorang yang tidak konsisten dan selalu berkhilaf dalam politik sehingga merugikan parti.

Sewaktu Anwar Ibrahim melancarkan psywar politik menerusi projek 16 September, disaat orang menyakini dengan projek untuk mengambil alih kerajaan menerusi "lompat parti" itu, dan ia telah mengelamkabutkan pihak UBN sehinggakan UBN terpaksa membawa ahli Parlimen melawat Korea, Pas menerusi Setiausaha Agungnya Mustapa Ali muncul dengan "buah tangan" yang sangat busuk menafikan projek berkenaan.

Mustapa membuat kenyataan umum dalam Harakah menafikan projek 16 September dengan mengatakan projek itu gagal. Kenyataan Mustapa itu kenyataan yang tidak menunjukkan semangat kesepakatan dalam Pakatan langsung dan seolah-olah satu pengkhiatan kepada strategi politik Anwar. Walaupun ia diluahkan Mustapa tetapi hakikatnya pengkhiatan itu direstui oleh Abdul Hadi.

Selepas itu Pas terus membuat tindakan politik songsang dan mengilankan PKR khasnya Anwar apabila membelakangkan semangat dan janji yang sudah dinyatakan kepada umum untuk menobatkan Anwar sebagai perdana menteri. Sepanjang kempen pilihan raya ke-13 Anwar diistyharkan sebagai bakal perdana menteri. Pakatan telah meletakkan Anwar sebagai PM yang sekaligus menjadi aset atau daya tarikan kepada pengundi agar bersama Pakatan Rakyat.

Menjelang saat pilihan raya umum ke-13 Pas membuat pusingan "U" dengan menukar nama perdana menteri kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Secara senyap-senyap Pas telah bertemu dan berunding dengan Tengku Razaleigh agar menjadi pak sanggup bagi mengganti Anwar. Tindakan dan sikap Pas itu sangat mengilankan Anwar dan gara-gara itu menyebabkan semangat dan mood pengundi jatuh mendadak. Kosentrasi pengundi kepada Pakatan juga musnah dan terganggu.

Ramai orang tidak tahu Pakatan mengalami krisis calon perdana menteri beberapa hari menjelang hari mengundi. Menjadi tanda tanya apakah Abdul Hadi sengaja melakukan ini kerana dengki apabila beliau tidak dinamakan sebagai calon perdana menteri? Beliau memang ada hajat untuk jadi PM apabila semasa berucap dalam muktamar Pas di Kota Bharu menyatakan; syok juga kalau jadi PM.

Dan kenyataan Abdul Hadi hari ini yang memberi sokongan kepada Khalid adalah kesenimbungan sikap politik yang tidak konsisten dan khianat yang diamalkannya selama ini. Kemungkaran ini bukan saja kepada PKR tetapi kepada pemimpin Pas juga. Dua tiga hari lepas timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu membuat kenyataan Pas akan membuat pendirian berhubung cadangan PKR untuk menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah itu. Pas bersetuju cuma akan menentukan calonnya dalam mesyuarat tertinggi Pas selepas hari raya.

Kenyataan Mohamad Sabu itu adalah kenyataan rasmi bagi Pas selepas selesai mesyuarat Majlis Presiden. Mesyuarat itu tidak dihadiri oleh Abdul Hadi, tetapi diganti oleh Mohamad Sabu. Katanya Abdul Hadi telah diberi taklimat hasil mesyuarat berkenaan dan telah setuju dengan sikap yang diambil. Tetapi hari ini alih-alih Abdul Hadi membuat kenyataan songsang yang memalukan Mohamad Sabu dan juga pimpinan Pas lain yang telah menerima konsensus PKR untuk menukar MB Selangor itu. Sikap Abdul Hadi itu menyebabkan integriti Pas sebagai parti Isalam jatuh bercelabak.

Setiausaha Agung Mustapa Ali pun memperakui soal jawatan MB Selangor adalah hak PKR, dan Pas tidak akan menganggu. Jadi apabila hari ini Abdul Hadi menjadi "kemamai" membuat kenyataan songsang meyebabkan semua orang akan jadi bingung kelu dan tidak faham dengan politik Abdul Hadi. Apakah kenyataan itu setelah Abdul Hadi menemui dengan malam seribu malam pada malam semalam?

Kenapa Abdul Hadi berbuat begitu? Apakah dia dipengaruhi kuasa luar yang mengawal minda politiknya? Kenyataan hari ini menjelaskan kunjungan tengah malam beliau bersama Mustafa Ali ke rumah Khalid Ibrahim dua minggu lepas jelas ada motif dan agendanya. Kebenaran akhirnya terserlah juga, semutar serban tidak dapat membaluti bangkai kejahatan apa lagi bila ianya sudah berbau busuk.

Saya tidak mahu "membelebel" panjang mengenai Abdul Hadi ini. Bagi kenyataan sonsang itu kenyataan orang lepas segar demam. Mungkin orang sudah faham pemikirannya atau akan faham selepas semuanya hancur berkecai menjadi debu. Mereka yang taksub dan menganuti pemikiran politik ortodok akan selama-lamanya melihat Abdul Hadi maksum dalam politik.

Cuma saya membuat catatan ini sebagai respons kepada beberap pemanggil daripada penjengok blog saya yang bertanya dan mengeluh kesal dengan kenyataan Abdul Hadi itu. Sejak tengah hari tadi hingga ke saat ini puluhan yang bertanya dan mengemailkan persoalan itu. Semua menyatakan kebingungan serta kekesalan dengan tindakan Abdul Hadi itu dan menganggap kenyataan itu dibuat dibawah sedar politik sihat.

Sama-sama kita tunggu apa yang akan berlaku esok. Kata Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar kenyataan Abdul HAdi itu bukan kenyataan Pas. Jadi ianya bersifat personal Abdul Hadi yang tidak perlu dipegang dengan kemas. Pas bukan hak presiden tetapi hak ahli juga. Alasan Abdul Hadi dia sudah mendapat maklum balas akar umbi samalah dengan bahasa dan kata-kata favouritenya pada setiap kali sessi media massa selepas muktamar; kita ambil keputusan secara "kolektif".

Khabarnya DAP tidak senang dengan kenyataan "mamai" Abdul Hadi itu dan akan membuat kenyataan esok sebagai respons kepada kenyataan Abdul Hadi yang tidak profesional dan jahil mengenai politik. Khabarnya DAP akan meminta Abdul Hadi patuh kepada keputusan majlis presiden yang tidak dihadirinya. Sesungguhnya sikap Abdul Hadi itu boleh memecah belahkan Pas dan meretakkan Pakatan Rakyat. [wm.kl.12:31 am 26/07/14]