OLEH: AMIRULMUKMININ WRLR
Sekumpulan ahli PAS sudah memulakan kempen untuk memastikan parti
Islam itu kekal dalam Pakatan Rakyat (PR), satu langkah yang boleh
dilihat sebagai cabaran kepada kepimpinan konservatif Presiden PAS Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.

Persatuan
Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) ditubuhkan selepas lebih 100 ahli PAS
bertemu di Kota Baru, Kelantan pada Ahad, kata satu sumber dengan
sasaran menghalang parti Islam itu meninggalkan PR dan bekerjasama
dengan Umno.
"Dalam pertemuan pada hari Merdeka itu, kita berjaya
kumpul 100 orang yang datang dari seluruh negara untuk tujuan yang sama
iaitu meletakkan perjuangan PAS atas landasan yang betul," kata salah
seorang penggerak utamanya kepada sebuah portal berita.
Beliau
yang enggan dikenali berkata kumpulan itu akan memberi penerangan
kepada ahli tentang perlunya PAS kekal dalam PR. PasMa menolak ijtihad
kumpulan konservatif dalam parti itu tidak boleh bertoleransi dengan
perbezaan pendapat.
PasMa yang dianggotai puak profesional dan
ulama itu juga akan menggempur idea penyatuan PAS Umno yang kini didakwa
sedang dipopularkan oleh puak Unity Government (UG) dalam PAS.

Inisiatif
ini bermula selepas Hadi memberitahu Jawatankuasa PAS Pusat pada 25
Ogos beliau mahu bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan di
Selangor.
Masih belum dipastikan bagaimana pimpinan PAS akan memberikan reaksi terhadap gerakan ini.
Portal
The Malaysian Insider melaporkan minggu lepas Hadi mencadangkan PAS,
Umno dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bekerjasama dengan Timbalan
Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar.
Bagaimanapun,
setiausaha politik presiden PAS itu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan
laporan itu dan menegaskan tiada perbincangan dilakukan di antara Azmin
dan Hadi. The Malaysian Insider mempertahankan laporan awalnya itu.
Sumber
memberitahu The Malaysian Insider, PasMa akan mengadakan majlis
penerangan di seluruh negara untuk menjelaskan mengapa PAS perlu kekal
dalam PR dan menolak Umno.
Majlis penerangan pertama akan
diadakan di sebuah hotel di Shah Alam pada 8 September dan akan
menampilkan tiga ahli panel iaitu Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa,
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof dan bekas ahli
Majlis Syura Ahmad Awang.
"Kita akan gabungkan semua pihak dalam majlis penerangan ini, khasnya profesional dan ulama," kata sumber itu.
Hubungan
dalam PR menjadi kucar kacir kebelakangan ini disebabkan Langkah Kajang
untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.
Presiden,
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diikuti dengan Majlis
Syura Ulama PAS menentang langkah itu dan mempertahankan Khalid.
Tetapi selepas PKR memecat Khalid, PAS menerima keputusan untuk menggantikannya dengan calon lain.
Bagaimanapun
PAS tidak berapa senang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk
menggantikan Khalid walaupun mesyuarat Jawatankuasa PAS 17 Ogos lalu
mencalonkan beliau dan Azmin untuk menggantikan Khalid.
Dalam
usaha untuk memastikan Dr Wan Azizah menjadi menteri besar Selangor, PKR
berjaya mendapatkan sokongan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS
untuk mencukupkan sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sesetengah
pihak dalam PAS tidak berpuas hati dengan perkara ini dan bertindak
memujuk Azmin untuk bersama mereka dalam gabungan 13 Adun PAS, 12 Adun
Umno dan beberapa Adun PKR.
Baru-baru ini, khabar angin mula
tersebar kononnya seorang pemimpin kanan PAS membawa tiga Adun PKR
Selangor bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
Mesyuarat itu bertujuan membuka jalan kerjasama antara
tiga Adun PKR itu dengan PAS dan Umno bagi membentuk kerajaan baru di
Selangor.
Semalam Husam dalam kenyataannya berkata, matlamat
utama Umno dalam kerjasama ini adalah untuk mendapatkan kembali majoriti
dua pertiga di Parlimen bagi membolehkan persempadanan pilihan raya
baru dilakukan.
"Selangor adalah umpan terdekat mereka," kata
Husam dalam artikelnya dan menambah beliau yakin usaha Umno akan menemui
kegagalan.
Struktur Organisasi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) sessi 2014/16.
Mursyid Am Pasma : Ust Hj Ahmad Awang (Perak)
Timb Mursyid Am Pasma : Ust Muhammad Husin (Kel)
Presiden Pasma : Yb Dato’ Husam Musa (Kel)
Timb. Presiden Pasma : Dr Hatta Ramli (Sel)
Naib Presiden Pasma : Dr Dzulkifli Ahmad (Sel)
Naib Presiden Pasma : Dr Mujahid Yusuf Rawa (Png)
Naib Presiden Pasma : Yb Khalid Samad (Sel)
Ketua Pemuda : Sheikh Omar (Joh)
Ketua Muslimat : Aiman Athirah (Sabah)
Ketua Ulamak : Ust Mohamad Nor (Mel)
AJK Pasma :
Nordin Majid (PGS – Phg)
Dato Wan Rahim (Kel)
Ust Taib Ahmad (Ked)
Ust Nasir Zakaria (Ked)
Ust Fuad Othman (N9)
Hanipa Maiden (Sel)
Syed Azman (Trg)
Mohamad Sabu (Png)
Ust Dzulqarnain (Per)
Sayuthi Basirun (Sel)
Abd Fatah Harun (Kel)
AJK Tambahan :
Rahman Talib
Hazmi Hassan
Sayuthi Omar
Hisyamudin Ghazali