Fitnah: Mahkamah Perintah Bard dipenjara 4 Bulan

 

IMG_9301

Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard didakwa pada 29 April 2024 atas kesalahan fitnah jenayah yang dilakukan pada 22 Januari tahun sama.

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap aktivis Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, atas kesalahan fitnah jenayah berkaitan kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Rafique Rashid Ali dalam kenyataan berkata, Hakim Norma Ismail memutuskan pembelaan Badrul gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Katanya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas mendengar hujahan mitigasi daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dilapor dipecat daripada Bersatu pada 18 Mac 2026. Foto Chegubard

Rafique berkata mahkamah turut menaikkan jumlah jaminan Badrul kepada RM5,000.

Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman mengendalikan pendakwaan.

Badrul, 47, didakwa pada 29 April 2024 atas kesalahan yang dilakukan pada 22 Januari tahun sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 2025, namun Mahkamah Tinggi pada tahun ini memerintahkannya membela diri.




No comments: