Ahli PAS dilarang sertai PasMa tapi Isma boleh?

Amaran Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa ahli PAS tidak boleh menyertai Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) menggambarkan ketidakyakinan PAS sebagai parti yang telah berusia lebih 50 tahun dalam menghadapi cabaran.

oleh: amirulmukminin

Tuan Ibrahim semalam berkata ahli PAS yang menyertai PasMa perlulah keluar dari parti itu terlebih dahulu.

"Mereka tak boleh sebab mereka ahli (PAS), kecuali mereka keluar dari parti,” katanya dipetik Malaysiakini.

PasMa hanyalah NGO dan bukannya parti politik. Namun peliknya, PAS membenarkan ahlinya menyertai NGO Isma. Isma banyak kali melalui presidennya, Abdullah Zaik menyerang Pakatan Rakyat termasuk PAS. Isma menolak tahaluf siyasi PAS bersama Pakatan dan dalam sesetengah komen Abdullah seolah-olah menganggap PAS sebagai musuh.

Tetapi sedarkah Tuan Ibrahim separuh daripada ahli Isma adalah ahli PAS. Malah pemimpin PAS berjawatan di peringkat kawasan dan cawangan adalah ahli aktif Isma. Segelintir ahli PAS juga merupakan  penyumbang dana untuk Isma. Adakah Tuan Ibrahim menyokong Isma yang selari dengan perjuangan asabiyah Umno tetapi menentang sahabat yang masih tulen semangat Islamnya dalam PasMa.

Sewajarnya PAS mengeluarkan deklarasi melarang ahlinya menyertai Isma jika parti itu berhasrat melarang ahlinya menyertai PasMa. NGO PasMa bertujuan untuk merapatkan saf Pakatan Rakyat sesuai dengan ketetapan Muktamar PAS.

Ahli PAS tidak sepatutnya dikepung pemikiran mereka.  PasMa wujud kerana sikap kepimpinan tertinggi PAS yang tidak mahu berbincang dengan pemimpin bawahan. Malah sikap Hadi yang menghentam keluarga Anwar dan menyerang parti komponen Pakatan seolah-olah ingin membawa PAS ke arah perjuangan yang berlainan, tentunya mendesak ahli menubuhkan satu persatuan untuk membincangkan masa depan mereka dalam Pakatan.

PAS juga mengunakan Majlis Syura Ulama sewenang-wenangnya. Sebelum ini majlis syura hanya bekerja menapis calon pilihan raya tetapi kini semua perkara dalam PAS ditentukan oleh syura. Mengikut dakwaan sumber PAS, majlis yang mempunyai 16 anggota itu bersidang tidak sampai pun separuh keanggotaannya untuk memutuskan calon MB Selangor tempoh hari.

Ketua Syura adalah Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat. Pada hari syura memutuskan calon MB Selangor bukan Dr Wan Azizah atau Azmin Ali, Astro Awani menemubual Nik Aziz di Kelantan. Mursyidul Am PAS itu memberi komen jawatan MB Selangor diputuskan oleh AJK PAS Pusat. Beliau bersetuju dengan siapa sahaja yang diputuskan.

Bagaimanakah pengerusi majlis syura tidak tahu-menahu majlis itu telah bersidang dan menggugurkan keputusan AJK PAS pusat pada hari yang sama di Kuala Lumpur.

Perkara inilah yang sewajarnya dijelaskan oleh Tuan Ibrahim. Adakah ulama dibenar mempunyai percanggahan pendapat sedangkan ahli biasa PAS tidak dibenar sama sekali. Adakah perlembagaan PAS membenarkan mesyuarat majlis syura dibuat tanpa memaklumkannya kepada Mursyidul Am.

Prosedur yang tak diikuti dalam PAS menyebabkan ahlinya semakin tidak yakin dengan kepimpinan ulama. Janganlah ulama membaca ayat dan hadis untuk menguatkan hujah sedangkan pengurusan diabaikan.

Banyak gerakan Islam di dunia hari ini hanya tinggal nama sahaja akibat kelemahan pengurusan dan ulama-ulama yang mengasaskannya tidak dipercayai masyarakat. Rakyat lebih rela bersama parti sekular yang baik menguruskan parti.

Islam mengajarkan jemaah taat dan berdisiplin. Taat yang pertama adalah kepada peraturan yang dibuat. Berbeza dengan pandangan majlis syura, taat kepada presiden diutamakan.

Setakat ini dua peraturan asas sudah dilanggar PAS, iaitu keketapan Muktamar mengukuhkan keerjasama dengan Pakatan dan ketetapan dalam berorganisasi.

Bagi ulama PAS, mungkin inilah peluang terbaik untuk menyingkirkan golongan profesional dalam parti dan menyekat percambahan pelbagai pemikiran selain pemikiran ulama. Namun bagi rakyat inilah masa untuk mereka menilai semula sokongan kepada PAS.

PAS sudah lama berjuang berlandaskan agama dan tidak terbuka kepada politik semasa. Pengaruhnya kecil di kawasan pantai timur dan utara semenanjung. Kini mungkin ulama PAS berpendapat pengaruh yang kecil lebih baik untuk mereka.

No comments: