
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 30 Jun 2026.
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan menyalurkan jumlah peruntukan secara tidak adil dan tidak mencukupi kepada kerajaan negeri, dibidas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kebanyakan peruntukan Kerajaan Persekutuan disalurkan pada nilai yang lebih tinggi berbanding purata hasil diraih daripada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, katanya, hanya kerajaan Selangor dan Pulau Pinang menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan yang nilainya lebih rendah berbanding purata hasil kedua-dua negeri itu.

“Semua negeri memperoleh peruntukan lebih ketimbang sebelumnya dan purata hasil cukai, melainkan Selangor serta Pulau Pinang.
“Selangor dan Pulau Pinang kerana kebetulan kedudukannya yang strategik, mendapat hasil tinggi tetapi perbelanjaan peruntukan Persekutuan (diterima) lebih kurang (berbanding purata hasil),” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai dakwaan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang tidak adil dan tidak mencukupi berbanding hasil dikutip.
Perdana Menteri berkata, nilai peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan ditetapkan mengikut tumpuan yang memerlukan perhatian khusus di setiap negeri seperti projek rancangan tebatan banjir (RTB), naik taraf lebuh raya atau jalan dan beberapa lagi.
Beliau turut memaklumkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri bertambah berbanding sebelum ini, selain mempertahankan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan keperluan mendesak.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri menerima pertambahan peruntukan seperti Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT), pemberian tahap, geran sama rata yang diumumkan di hadapan Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier.
“Saya harap penjelasan ini boleh mengundang pandangan tambahan (dan) cadangan, tetapi tidak benar sama sekali tohmahan negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan.
“Jika mahu (buat) perbandingan. Saya tegaskan, Kerajaan MADANI-lah (memberi) peruntukan tertinggi untuk negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan, ketimbang sebelumnya,” katanya.
Memperincikan jumlah peruntukan kepada negeri, Anwar berkata, Kelantan menerima dana bernilai RM8.9 bilion berbanding RM946 juta purata hasil antara 2023 hingga 2025.
Beliau berkata, Kedah pula menerima peruntukan bernilai RM9.5 bilion berbanding RM3.7 bilion hasil purata bagi tempoh sama, manakala sejumlah RM7.8 bilion diberikan kepada Terengganu berbanding RM2.4 bilion purata hasil.
“Peruntukan kepada Perlis pula bernilai RM2.2 bilion berbanding purata hasil RM419 juta, manakala Johor menerima RM16 bilion ketimbang hasil sekitar RM14 bilion.
“Selangor pula menerima peruntukan RM15 bilion, biarpun purata hasil cukai bernilai RM43.6 bilion, manakala Pulau Pinang terima RM7.9 bilion ketimbang purata hasil RM10.7 bilion bagi tempoh sama,” katanya.


No comments:
Post a Comment