MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR NEGERI KEDAH DARUL AMAN GUAMAN SIVIL NO. KA-23CY-1-04/2025

 


MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR

NEGERI KEDAH DARUL AMAN


GUAMAN SIVIL NO. KA-23CY-1-04/2025


YB DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION BIN ISMAIL

Plaintif


lwn.


MUHAMMAD ZUBAIR BIN ISMAIL

Defendan






MAHKAMAH TINGGI MENOLAK PERMOHONAN DEFENDAN UNTUK MENGETEPIKAN PENGHAKIMAN INGKAR KEHADIRAN


Mahkamah Tinggi Malaya di Alor Setar pada hari ini telah menolak permohonan Defendan (Lampiran 21) untuk mengetepikan Penghakiman Ingkar Kehadiran ("Judgment in Default") yang telah direkodkan terhadap Defendan pada 8 Disember 2025.


Plaintif diwakili oleh Encik Maniggandan Gopalan daripada Tetuan S. N. Nair & Partners, manakala Defendan diwakili oleh Encik Ibrahim bin Haji Ismail.


Mahkamah turut memerintahkan Defendan membayar kos sebanyak RM8,000.00 kepada Plaintif.


Dalam menyampaikan keputusan, Mahkamah memutuskan bahawa Defendan telah gagal membuktikan bahawa Penghakiman Ingkar Kehadiran bertarikh 8 Disember 2025 merupakan suatu penghakiman yang tidak teratur (irregular judgment). Malah, semasa hujahan lisan, Defendan telah mengakui bahawa Penghakiman Ingkar Kehadiran tersebut merupakan penghakiman yang teratur (regular judgment).


Setelah mendapati bahawa Penghakiman Ingkar Kehadiran tersebut diperoleh secara teratur, Mahkamah seterusnya mempertimbangkan sama ada Defendan telah menunjukkan alasan yang mencukupi untuk Mahkamah menggunakan budi bicaranya bagi mengetepikan penghakiman tersebut. Mahkamah mendapati bahawa Defendan telah gagal membuktikan kewujudan suatu pembelaan bona fide terhadap tuntutan Plaintif.


Mahkamah turut mengambil perhatian bahawa Defendan gagal mengemukakan satu Draf Pembelaan serta gagal mengemukakan sebarang keterangan yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa beliau mempunyai pembelaan yang bermerit dan mempunyai prospek kejayaan yang munasabah. Sehubungan itu, Mahkamah enggan menggunakan budi bicaranya untuk mengetepikan Penghakiman Ingkar Kehadiran tersebut.


Dengan keputusan ini, Penghakiman Ingkar Kehadiran bertarikh 8 Disember 2025 kekal sah, berkuat kuasa dan mengikat pihak-pihak.


Kes ini kini akan diteruskan ke peringkat taksiran ganti rugi, bagi membolehkan Mahkamah menentukan jumlah ganti rugi yang layak diberikan kepada Plaintif selaras dengan Penghakiman Ingkar Kehadiran yang telah diperoleh.


Terima kasih.


DATUK SANKARA NAIR

S. N. NAIR & PARTNERS


30 June 2026





No comments: