PRU Johor: Usah Terpengaruh Dengan Akaun Palsu ‘HARAPAN Pengerang’

Faizul membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung akaun palsu di Facebook ‘Harapan Pengerang’ yang bukan dikendalikan pasukan media kempen DUN Tanjung Surat pada 30 Jun 2026.
KOTA TINGGI, 30 Jun – Pengundi DUN Tanjung Surat diingatkan agar tidak terpengaruh dengan sebuah akaun media sosial palsu kononnya mewakili Pakatan Harapan (PH).
Calon PH DUN berkenaan, Faizul Abdul Ghani mendakwa akaun Facebook yang menggunakan nama ‘HARAPAN Pengerang’ sebagai palsu dan tidak mewakili pendirian rasmi KEADILAN Cabang Pengerang, Pakatan Harapan (PH) Pengerang serta jentera kempennya.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Pengerang berkata, penafian itu dibuat susulan kekeliruan yang timbul dalam kalangan orang awam dan pengamal media berhubung beberapa hantaran yang dimuat naik akaun tersebut.

Katanya, antara kandungan yang menjadi perhatian ialah hantaran berkaitan insiden pembakaran bendera PH di kawasan DUN Tanjung Surat yang mendapat liputan media sejak semalam.
“Saya memandang serius penyalahgunaan nama ‘HARAPAN Pengerang’ kerana ia boleh mengelirukan pengundi, menjejaskan suasana kempen serta mencemarkan imej calon, parti dan jentera pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat selain mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap akaun berkenaan.

Menurutnya, perkara berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut termasuk siasatan secara terperinci
Dalam perkembangan lain, Faizul berkata, pihaknya turut menerima aduan dan bukti bergambar mengenai beberapa lokasi bahan kempen termasuk papan iklan miliknya yang didakwa dihalang pandangan melalui pemasangan bendera parti lain di hadapannya.
Katanya, perkara itu telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk perhatian dan tindakan lanjut kerana melibatkan bahan serta ruang kempen pilihan raya.

Beliau berharap semua pihak menghormati proses demokrasi dan memastikan kempen pilihan raya berlangsung secara bersih, tertib serta beradab.
“Saya percaya rakyat Tanjung Surat cukup matang untuk menilai. Kempen pilihan raya sepatutnya menjadi medan mengangkat idea, dasar, rekod perkhidmatan dan tawaran kepada rakyat, bukannya ruang untuk melakukan sabotaj atau menyebarkan kekeliruan.
“Saya juga menyeru orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih serta tidak mudah terpengaruh dengan akaun tidak rasmi atau kandungan yang bersifat provokatif,” katanya.
No comments:
Post a Comment