6 January 2026
Pendirian UMNO untuk terus kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga habis penggal adalah satu keputusan yang wajar serta tepat.
Ia menggambarkan Ahmad Zahid Hamidi lebih mengutamakan kestabilan kerajaan dan tidak ingin melihat kerajaan jatuh di tengah jalan.
Dengan keputusan itu, selain kerajaan perpaduan akan terus stabil dan dapat meneruskan khidmat kepada rakyat sehingga habis penggal, bahkan juga menjadikan UMNO ada ruang yang lebih baik untuk memperbaiki diri dan prestasinya.
Hakikatnya, keputusan UMNO untuk kekal berada dalam kerajaan adalah pilihan yang lebih baik berbanding jika tiba-tiba menukar status menjadi pembangkang.
Dapat apa jadi pembangkang, sepatah kata Ahmad Maslan – satu sen tak guna bila jadi pembangkang.
Soal sama ada jadi kerajaan itu dengan terpaksa bersama dengan DAP, itu cerita lain yang tak perlu dibesar-besarkan.
Walaupun dengan bergelar pembangkang dan kemudian bekerjasama dengan PAS sebagaimana saranan Dr Akmal Salleh dilihat mampu melonjakkan nama UMNO pada PRU16 akan datang, tetapi ia bukan jaminan seratus-peratus untuk beroleh kemenangan.
Banyak faktor lain menjadi penentu untuk UMNO beroleh kemenangan dalam PRU.
Yang pasti, jika bersama kerajaan perpaduan, harapan untuk beroleh kemenangan itu jauh lebih cerah.
Apa pun, keputusan Zahid Hamidi untuk mengekalkan UMNO dalam kerajaan sehingga habis penggal adalah pilihan yang tentunya juga menggembirakan rakyat.
Rakyat melihat Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri paling terbaik untuk Malaysia ketika ini dan beliau sepatutnya terus dikekalkan mentadbir negara ini.
Sebarang cubaan menggugat, apa lagi ingin menjatuhkannnya adalah suatu pengkhianatan kepada mandat rakyat, bahkan akan menbuat ramai yang menangis kerananya.
Rakyat tidak rela melihat perkara itu berlaku dan diharapkan Dr Akmal dan Pemuda UMNO tidak lagi cuba membuat apa-apa onar selepas ini.
Pendirian Zahid Hamidi bahawa UMNO kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga habis penggal adalah hakikat muktamad yang tidak perlu diganggu gugat lagi.
Yang penting, Anwar mesti dikekalkan sebagai Perdana Menteri.
Nota – ini bukanlah artikel yang sepatutnya saya tulis, tetapi ini adalah contoh ulasan yang boleh ditulis oleh penyokong-penyokong kerajaan, khususnya daripada PH, mereka yang beroleh macam-macam jawatan serta gaji di pelbagai agensi serta ceplos-ceplos berbayar yang nampaknya bayaran untuk mereka juga akan terus kekal sehingga habis penggal.
Semua mereka di atas wajar mengucapkan tahniah dan memberi puji-pujian atas pendirian Zahid Hamidi dan UMNO untuk terus kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga habis penggal.
Kalau sebelum ini ramai yang cemas kalau-kalau UMNO akan keluar kerajaan dan mungkin kerajaan jatuh, kini sepatutnya sudah boleh menarik nafas lega.
Dan janganlah lambat-lambat memberikan ucapan tahniah kepada Zahid Hamidi atas peranannya itu. – ShahbudinHusin 06Disember2026.
https://shahbudindotcom.net/2026/01/tahniah-zahid-hamidi/
No comments:
Post a Comment