PADAN MUKA KO MEZAH..

 


HAMZAH DIPECAT MALAM INI?


12 January 2026


Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan mengadakan mesyuaratnya malam ini.


Sebagaimana biasa, mesyuarat itu dijadual diadakan di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor.


Melalui bisikan orang-orang halus, dua perkara dijadual menjadi topik utama pada mesyuarat kali pertama Bersatu bagi tahun 2026 ini.


Perkara pertama, mesyuarat malam ini dijangka membuat ketetapan menolak perletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, sebaliknya mahu beliau terus menerajui gabungan itu.


Semalam, Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham berkata, semua parti komponen perlu diberikan ruang untuk membuat ketetapan masing-masing terlebih dahulu sebelum  mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN diadakan untuk membincangkan kedudukan pengerusi gabungan itu.


Beliau berkata, sebelum mesyuarat MT PN  diadakan bagi membincangkan perletakan jawatan Muhyiddin dan perlantikan penggantinya, proses dalaman setiap parti perlu diadakan  terlebih dahulu dan ketetapannya hendaklah juga dihormati.


“Bersatu sendiri akan membuat beberapa ketetapan dalam mesyuarat MPT yang akan berlangsung dalam masa terdekat,” ujarnya.


Bertolak daripada kenyataan Hilman itu, isu perletakan jawatan Muhyiddin akan menjadi topik utama malam ini dan mesyuarat MPT dijangka memutuskan menolak perletakan jawatan beliau itu.


Ketetapan itu seterusnya nanti akan dibawa ke dalam mesyuarat MT PN yang dijangka diadakan  dalam beberapa hari selepas ini.


Pendirian Bersatu menolak perletakan jawatan Muhyiddin dan mahu beliau kekal menerajui PN juga dijangka akan diikuti oleh Gerakan dan MIPP, dua lagi parti komponen PN.


Dengan itu, dalam mesyuarat MT PN nanti, tiga parti iaitu Bersatu, Gerakan dan MIPP akan bersuara dengan nada yang sama  – menolak perletakan jawatan Muhyiddin serta mahu bekas Perdana  Menteri itu terus menerajui PN.


Dengan pendirian tiga parti itu, Pas diramal berdepan kesukaran untuk melantik pemimpin mereka menerajui PN.


Malah, jika ada pengundian, wakil ketiga-tiga parti itu tiada masalah untuk menunjukkan kesetiaan mereka terhadap Muhyiddin.


Perkara kedua yang  dijangka berlaku malam ini, bahkan sudah hangat diperkatakan sejak dua tiga minggu kebelakangan ini ialah Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin dijangka akan dipecat daripada parti.


Hamzah sebelum ini sudah dipanggil memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin, tetapi beliau tidak menghadirinya.


Keengganan hadir itu dipercayai akan dijadikan alasan untuk mensabitkan Hamzah sebagai bersalah melanggar disiplin parti.


Ertinya, Hamzah dianggap bersalah kerana gagal menjawab pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan kerana enggan mematuhi arahan Lembaga Disiplin untuk hadir memberi keterangan.


Atas kesalahan itu, lalu beliau akan dicadangkan oleh Lembaga Disiplin untuk dipecat melalui persetujuan mesyuarat MPT sebelum ia dikuatkuasakan.


Memandangkan dalam MPT Bersatu, beberapa pemimpin yang pro Hamzah seperti Wan Saiful Wan Jan, Saifuddin Abdullah dan Wan  Fahysal  Wan Ahmad Kamal telah dipecat dan digantung keahlian mereka serta tidak lagi berada dalam mesyuarat, pemecatan Hamzah dijangka akan diluluskan tanpa sebarang masalah.


Persoalannya, apa jadi kepada PN, Bersatu dan PAS selepas ini?


Apakah selepas ini jika Muhyiddin kekal lagi sebagai pengerusi, walaupun telah secara sukarela meletakkan jawatan, PN jadi lebih berantakan serta berdepan penentangan terbuka daripada PAS?


Masih mahukah PAS berada di dalam PN jika gabungan itu terus dipimpin Muhyiddin, apa lagi setelah Bersatu berjaya “merampas” kerusi Menteri Besar Perlis daripada PAS?


Berkaitan Bersatu, apakah parti itu turut berantakan selepas ini atau ia jadi lebih stabil dengan Muhyiddin menguasai parti sepenuhnya?


Ke mana pula hala tuju Hamzah dan para pengikutnya setelah beliau dipecat nanti?


Apakah beliau akhirnya akan menyertai PAS sebagaimana langkah diambil Shahidan Kassim dan Annuar Musa sebelum ini? – ShahbudinHusin 12Januari2026.


https://shahbudindotcom.net/2026/01/hamzah-dipecat-malam-ini/



No comments: