
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat berjuang kepada atlet Malaysia yang beraksi di Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok pada 9 Disember 2025.
KUALA LUMPUR, 9 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menitipkan ucapan semangat dan doa kepada kontinjen negara yang akan beraksi di temasya Sukan SEA Thailand yang bermula secara rasmi hari ini.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu kepada atlet kebangsaan yang membawa cabaran negara di pentas serantau itu.
Anwar berkata, atlet negara diseru beraksi dengan penuh fokus, tenang dan keyakinan bagi mencapai keputusan terbaik pada Sukan SEA Thailand kali ini.
“Beraksilah dengan fokus, tenang dan penuh keyakinan, doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi setiap langkah kalian,” katanya.
Lebih 1,100 atlet negara beraksi di temasya Sukan SEA Thailand.
Malaysia yang mengambil bahagian dalam semua 50 acara yang dipertandingkan pada edisi ke-33 di Sukan SEA 2025 di Bangkok dan Chonburi menetapkan misi baharu untuk membawa pulang 200 pingat tanpa mengira warna.
Sukan SEA 2025 dibuka secara rasmi hari ini di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok dan berakhir pada 20 Disember ini.
No comments:
Post a Comment