
Barisan panelis pada sesi Forum Memperkukuh Sektor Kesihatan Pendidikan dan Kemiskinan sempena Majlis Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin Perbadanan Putrajaya pada 6 Disember 2025.
KUALA LUMPUR, 8 Dis – Tindakan Bank Dunia memuji Malaysia atas kemajuan kukuh dalam mengurangkan kemiskinan terutama membabitkan miskin tegar namun, penambahbaikan dari segi hasil pendidikan dan kesihatan juga penting untuk menyokong pertumbuhan yang inklusif dan adil, menunjukkan petanda positif terhadap hala tuju ekonomi negara.
Petunjuk jelas itu memberi semangat baharu kepada kerajaan bagi meneruskan dasar-dasar menyokong pertumbuhan ekonomi secara berterusan dalam tempoh jangka masa sederhana.
Menurut Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia (Kemiskinan dan Ekuiti), Dr Ririn Salwa Purnamasari, pencapaian Malaysia sepanjang generasi lalu adalah tidak dapat dinafikan dengan kemiskinan tegar kini hampir dibasmi sepenuhnya.

“Usaha Malaysia dalam menghapuskan kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan sangat mengagumkan.
“Kemiskinan tegar kini hampir tidak wujud. Sasaran kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar pada asasnya telah dicapai,” katanya semasa sesi panel di Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang diadakan sempena program Rancakkan MADANI di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata Malaysia kini perlu bergerak melangkaui usaha membasmi kemiskinan tegar dengan menumpukan kepada pembangunan yang lebih meluas dan adil.
“Kejayaan Malaysia bukan hanya mengenai mengeluarkan rakyat daripada zon kemiskinan tegar. Negara ini perlu mempunyai aspirasi yang lebih besar,” katanya.

Ririn berkata Malaysia sudah mempunyai asas yang kukuh, termasuk kadar kemasukan ke sekolah menengah yang tinggi, perlindungan penjagaan kesihatan yang meluas serta kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Langkah Malaysia seterusnya bukan sekadar melakukan lebih banyak bagi setiap perkara tetapi menghubungkan perkara yang telah Malaysia miliki dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata negara ini berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai masa depan yang inklusif dan berpendapatan tinggi.
“Malaysia berada di landasan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi. Dalam beberapa tahun akan datang, insya-Allah, Malaysia akan menyertai kategori negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dan doktor selebriti Dr Shazril Shaharuddin turut menjadi ahli panel dalam sesi selama 30 minit itu.
No comments:
Post a Comment