Kematian pelajar tahfiz: AGC masih tunggu siasatan polis lepas 12 tahun


 

Kematian pelajar tahfiz: AGC masih tunggu siasatan polis lepas 12 tahun

Diterbitkan:  Dec 9, 2025 11:37 AM

Dikemaskini: 11:37 AM

 

Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum menerima laporan siasatan polis mengenai kematian pelajar tahfiz Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, yang berlaku 12 tahun lalu.

Peguam Negara Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata sehingga kini polis belum menyerahkan hasil siasatan mereka kepada AGC, sedangkan dokumen itu penting untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Wan Faris.

“Kita akan mohon hasil siasatan dikemukakan oleh PDRM jika semuanya sudah disiapkan atau dilengkapkan.

"Namun, arahan siasatan lanjut sentiasa diberikan dari semasa ke semasa bagi melengkapkan siasatan kes. Hasil siasatan itu penting untuk diteliti AGC sama ada kejadian menimpa Allahyarham Wan Ahmad Faris mempunyai elemen kes jenayah dan sebagainya," kata Dusuki seperti dipetik BH Online semalam.

ADS

Pada 20 Ogos, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis akan membuka semula siasatan berhubung kematian Wan Faris pada Disember 2013.

Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas keluarga pelajar tersebut mendesak pihak berkuasa menyemak semula siasatan.

Lokasi diroboh sebelum siasatan selesai

Wan Faris, ketika itu pelajar Tingkatan Empat, ditemui di dalam tandas asrama Sekolah Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas, Kelantan.

ADS

Mayatnya dijumpai seorang warden asrama selepas mengesan bau busuk dari tandas berkenaan.

Bedah siasat mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut tanpa unsur jenayah.

Namun, Mahkamah Koroner Kota Bharu pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Faris berpunca daripada tindakan individu tidak dikenali dan menolak kemungkinan bunuh diri.

Pada 1 September, keluarga Wan Faris menyerahkan satu memorandum kepada kerajaan Kelantan yang mengandungi tiga tuntutan utama, termasuk penjelasan mengapa tandas sekolah — lokasi kejadian — dirobohkan sebelum siasatan diselesaikan.

 

No comments: