Di mana wakil Pas dalam pertemuan Mahiaddin dengan parti pembangkang?
Ketiadaan seorang pun pemimpin Pas dalam pertemuan yang diketuai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yassin bersama ketua-ketua parti blok bukan kerajaan semalam, menimbulkan tanda tanya.
Menerusi hantaran di Facebook, Mahiaddin telah mengadakan perbincangan bagi mendapatkan pandangan tentang penubuhan sebuah barisan rentas parti yang akan mengambil pendirian bersama dalam isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara.
Beliau dalam kenyataannya berkata, penubuhan barisan rentas parti itu bertujuan untuk memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti-parti pembangkang di dalam dan di luar Parlimen.
Namun, kelibat pemimpin utama Pas, parti komponen terbesar dalam Perikatan Nasional tidak langsung terlihat dalam beberapa keping gambar pertemuan yang dimuat naik Mahiaddin.
Mahiaddin cuma menyebut beberapa nama yang hadir dalam posting beliau, dan tiada satu pun pemimpin Pas.
Antara yang hadir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; dan Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya.
Selain itu, Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali; Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof. Dr. P. Ramasamy; dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P. Waytha Moorthy.
Ketiadaan Pas dalam pertemuan itu menimbulkan persoalan, apatah lagi apabila parti-parti sekutu dalam PN seperti Bersatu dan Gerakan hadir dalam perbincangan penting itu.
No comments:
Post a Comment