Hakim sudah dilantik, tak perlu timbul lagi desakan tubuh RCI – KANUN


 

Pelantikan hakim-hakim kanan yang diumumkan semalam akhirnya telah menyelesaikan kontroversi berpanjangan yang sebelum ini cuba dipolitikkan sesetengah pihak, kata Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN).



Ketua Kluster Komunikasi KANUN, Noorazmir Zakaria berkata, dengan pengumuman pelantikan tiga tokoh tertinggi dalam badan kehakiman itu maka tidak relevan lagi usaha sesetengah pihak yang mendesak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“KANUN menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang bertindak di bawah Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan untuk memperkenan pelantikan Ketua Hakim Negara baharu serta Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.


“KANUN menzahirkan rasa gembira kerana pelantikan tersebut telah dibuat dengan penuh tertib dan adab yang sepatutnya dan ini telah menyelesaikan kontroversi yang begitu hangat diperkatakan malah cuba dipolitikkan oleh sesetengah pihak.


“KANUN juga menyatakan dengan pelantikan ini maka tidak timbul lagi usaha sesetengah pihak untuk menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat perkara ini atau mengadakan apa-apa perhimpunan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Noorazmir berkata, KANUN berharap hakim-hakim yang dilantik dapat menyelesaikan isu-isu kehakiman yang berbangkit seperti isu kekurangan hakim dan isu untuk mendapat tarikh bicara yang kini pihak litigan terpaksa menunggu lama.



No comments: