Kerajaan Teliti Inisiatif Baharu Perkhidmatan Awam – PM Anwar


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2025 di Putrajaya pada 22 April 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 22 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang meneliti pelbagai cadangan inisiatif dasar baharu perkhidmatan awam termasuk pelaksanaan mobiliti dan portabiliti dalam kalangan penjawat awam, bagi memastikan mereka kekal berdaya saing pada masa hadapan.

Menurut Perdana Menteri, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memperkukuh struktur perkhidmatan awam agar ia kekal mampan, responsif dan sejajar dengan keperluan semasa negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2025 di Putrajaya pada 22 April 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Saya bangkitkan perkara tersebut sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2025 pagi ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, cadangan itu dibuat susulan kejayaan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 1 dan hasil proses libat urus yang berterusan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima laporan Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2025 di Putrajaya pada 22 April 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Saya percaya bahawa pembaharuan ini harus dilaksanakan dengan teliti dan inklusif, dengan mengutamakan kepentingan rakyat, kebajikan penjawat awam serta kemampuan fiskal negara,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.



No comments: