Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui dirinya beruntung kerana dapat mengerjakan umrah dalam 10 hari terakhir Ramadan.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, suasana di Haramayn iaitu Makkah dan Madinah cukup luar biasa apabila manusia berlumba-lumba mengerjakan ibadah dan memburu ganjaran malam al-Qadr.
Menurutnya, persediaan fizikal, mental dan kerohanian yang kuat berdepan pelbagai ujian dari setiap sudut diperlukan memandangkan mataf iaitu tempat mengerjakan Tawaf sangat padat seperti musim Haji.
“Saya amat bernasib baik dan beruntung kerana tidak langsung merencanakan perjalanan ini kecuali pada minggu lalu.
“Dalam keadaan kemuncak di 10 malam terakhir Ramadan, semua kemudahan menjadi berganda mahal dan tiada lagi kekosongan,” katanya kelmarin menerusi ciapan di platform X.
Menjengah ke ruang komentar, rata-rata netizen meluahkan harapan agar pemimpin pembangkang itu menjadi lebih baik dalam berhujah apabila kembali ke Parlimen.
Ramai turut berharap bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu lebih memberi tumpuan membantu rakyat di kawasan diwakilinya selain mengingatkan sepatutnya beribadat tanpa perlu beriya-iya memberitahu di media sosial.
Dalam masa sama, ada yang menyindir memberitahu patutlah Malaysia tenang pada masa ini selain berseloroh dengan mencadangkan Wan Fayhsal untuk tinggal di sana.
No comments:
Post a Comment