Pada hari yang penuh bermakna ini, kita bersama-sama menyambut Hari Polis ke-218, mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terus berbakti dan menumpahkan taat setia memastikan keamanan dan kesejahteraan negara tercinta.
Sejak penubuhannya yang bermula dari Home Guard pada 25 Mac 1807, PDRM telah memainkan peranan penting dalam menegak undang-undang dan ketenteraman awam.
Sejarah PDRM bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, di mana jawatan seperti Temenggung bertindak sebagai pelaksana dan penguatkuasa undang-undang adat dan syariah. Peranan ini berkembang dengan penubuhan pasukan polis moden, bermula di Pulau Pinang dan seterusnya di negeri-negeri lain, membawa kepada pembentukan Pasukan Polis Negeri-Negeri Selat pada tahun 1871.
Dalam menghadapi ancaman komunis pada era Darurat (1948-1960) dan ancaman keganasan berikutnya, PDRM, melalui Pasukan Cawangan Khas, telah menunjukkan ketangkasan dan kecekapan dalam mengumpul risikan serta melaksanakan operasi yang berjaya mengekang ancaman tersebut. Usaha gigih ini memastikan kestabilan negara terpelihara dan rakyat dapat hidup dalam suasana aman.
Di peringkat serantau, PDRM terus memperkukuh kerjasama dengan negara-negara ASEAN melalui wahana seperti ASEANAPOL dan INTERPOL. Kerjasama ini penting dalam mengekalkan kestabilan rantau, terutama dalam menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan dan keselamatan siber.
Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, mari kita merenung dan menghargai pengorbanan anggota PDRM yang bertugas siang dan malam demi memastikan kita dapat beribadah dan menjalani kehidupan dengan tenang. Pengorbanan mereka adalah tiang seri yang mendukung keamanan dan kemakmuran negara.
Sebagai rakyat Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghargai usaha PDRM dalam mengekalkan keamanan.
Semoga PDRM terus cemerlang dalam melaksanakan amanah yang dipikul, dan negara kita terus menikmati keamanan dan kemakmuran yang berkekalan.
Selamat menyambut Hari Polis ke-218 kepada seluruh warga PDRM.
Kami berterima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi Malaysia yang tercinta!
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
No comments:
Post a Comment