TANAH MERAH, 25 Jan – Agensi berkaitan pengurusan bencana digesa menyiasat segera dakwaan terdapat mangsa banjir yang masih belum menerima bantuan sepatutnya, kata Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Beliau berkata lebih 100,000 mangsa banjir masih belum menerima bantuan meskipun perkara itu perlu diselesaikan segera.
Sehubungan itu beliau menggesa mana-mana mangsa banjir yang belum menerima sumbangan Ihsan MADANI segera membuat laporan kepada pihak berkaitan agar perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
Katanya, beliau menerima arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam supaya membuat semakan jika ada lagi mangsa banjir yang tercicir dan segera diambil tindakan.
“PM (Perdana Menteri) sendiri mahukan bantuan ini terus sampai kepada mangsa dengan segera sebab itu bila ada laporan, perlu diambil terus tindakan.
“Semalam saya terima arahan supaya dapat semak hingga ke akar umbi agar jangan lagi kita dengar ada yang tak dapat bantuan kerana apabila mereka daftar saja dengan pusat pemindahan sementara (PPS), sewajarnya dari segi prosedur operasi standard (SOP) tu layak dapat bantuan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, sepatutnya dalam tempoh sebulan dari tarikh berlaku banjir, bantuan sudah diterima mangsa namun memasuki dua bulan masih ada yang belum menerima.
Katanya tidak dapat dipastikan apa kesilapan yang menyebabkan perkara itu berlaku namun meminta semua pihak berkaitan mengambil perhatian serius.
“Apabila terima aduan baru kita tahu masih ada yang belum terima bantuan dan kita perlu ambil serius dan kena selesaikan.
“Kita harap dapat dijayakan sumbangan Ihsan MADANI sekali gus memastikan tidak ada lagi mangsa banjir yang tercicir,” katanya.
Terdahulu beliau hadir dalam majlis sumbangan Skuad Ihsan MADANI Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pakaian seragam sekolah kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bendang Nyior, di sini.
Dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli itu, seramai 200 murid sekolah terbabit menerima bantuan seragam sekolah yang diagihkan dalam bentuk baucer.
No comments:
Post a Comment