DOKTRIN GHULUW 4.

Jamzuri Ardani


Selagi hukum hudud tidak terlaksana, maka menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam mengundi parti politik yang mahu melaksanakan hukum hudud. 


TANWIR. 

Hukum hudud ialah hukuman bagi kesalahan jenayah yang khusus yang dinyatakan di dalam Al Quran dan Sunnah. Empat kesalahan hudud yang dinyatakan secara jelas di dalam Al Quran ialah zina, mencuri, merompak, dan qazaf.  


Adapun selain dari kesalahan di atas, terdapat perbezaan pandangan ulamak Islam dalam beberapa kesalahan jenayah lain samada termasuk hudud atau tidak. Antaranya ialah minum arak, murtad, dan bughah (memberontak). 


Begitu juga terdapat perbezaan pandangan ulamak Islam samada hukum hudud dikenakan ke atas orang Islam sahaja atau ke atas semua rakyat tanpa mengira anutan agama. 


Apapun yang jelas ialah perintah melaksanakan hukum hudud adalah ke atas ulil amri. Ia bukan kewajipan fardhu 'ain ke atas semua orang Islam sepertimana kewajipan di dalam rukun Islam. Jadi meletakkan kewajipan hudud ke atas rakyat kesemuanya adalah pemikiran yang ghuluw.  Apatah lagi jika ianya digunakan sebagai modal untuk mendapatkan undi di dalam pilihanraya. 


Di zaman khilafah Islam sejak dari zaman Abbasiyyah dan Uthmaniyah dulu pun hudud tidak dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh. Bergantung kepada keputusan 'ulil amri' yang memerintah pada waktu itu. 


Orang Islam tidak dibenarkan melaksanakan hukum hudud secara sembarangan tanpa kebenaran ulil amri. Ayah tidak boleh melaksanakan hukum hudud ke atas anaknya sendiri. Ketua Kampung, Penghulu, Datuk Bandar, dan malah Perdana Menteri pun tidak boleh melaksanakan hukum hudud tanpa mengikut peruntukan undang-undang yang absah. 


Jadi persoalan asas dalam isu hudud bukanlah soal sokong parti tertentu, tetapi isu yang melibatkan keabsahan perundangan dan perlembagaan. 


Cara terbaik untuk mendapatkan keabsahan perundangan dalam persoalan hukum hudud ialah dengan menghalang isu ini dari dipolitikkan mengikut garis kepartian. Malah, menjadikan isu hudud sebagai modal politik bagi mendapatkan sokongan undi dalam pilihanraya adalah penghalang terbesar bagi mendapatkan keabsahan perundangan berkenaan hudud.  Kepentingan politik kepartian hanya akan menjadikan isu hudud sebagai titik perpecahan umat Islam. Lebih teruk ia menjadi punca budaya takfiri.


Dalam konteks Malaysia, cara paling sesuai bagi perlaksanaan hukum hudud ialah konsensus di kalangan pemegang taruh. Konsensus hanya boleh dicapai melalui pendekatan sederhana, muafakat, dan perbincangan yang konstruktif melibat ulil amri dan institusi yang berkaitan. 


Selagi ada parti politik yang cuba dilihat menjuarai dan mendominasikan isu hudud, selagi itulah ia sukar mendapatkan permuafakatan dan keabsahan perundangan secara beperlembagaan.



No comments: