Alhamdulillah, mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia dan Singapura hari ini menyaksikan beberapa persefahaman dan kemajuan dicapai dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit dan tertunggak.
Meskipun penyelesaian akhir masih belum diputuskan, namun kemajuan dan kesepakatan yang diperoleh hari ini cukup bermakna dalam usaha meneroka situasi menang-menang dalam merungkai isu-isu yang telah berlanjutan sejak puluhan tahun.
Dalam sidang media bersama usai mesyuarat dua hala, saya maklumkan pimpinan kedua-dua negara mencapai beberapa persefahaman terkait pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi serantau dan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.
Perbincangan turut menyentuh rundingan isu persempadanan maritim, bekalan air, ruang udara dan eksport tenaga melalui kabel dasar laut. Pendekatan ini melibatkan kerjasama erat dengan jiran serantau untuk mencapai penyelesaian terbaik.
Selaku Pengerusi ASEAN, saya zahirkan penghargaan atas sokongan Singapura terhadap usaha Malaysia untuk memanfaatkan peluang ini untuk mencipta peluang baharu dalam tenaga, pendigitalan, perdagangan, dan pelaburan serantau bagi memperkukuh kedudukan ASEAN di pentas global.
Sebelum itu, saya dan PM Lawrence menyaksikan pertukaran lapan dokumen merangkumi Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta enam memorandum persefahaman (MoU) dan satu surat niat (LOI) terkait kerjasama dalam bidang pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
π²πΎπΈπ¬
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja