Kes DS Najib Tun Razak yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan semalam telah mendapat liputan meluas. Sejurus keputusan itu dibuat, pemimpin pembangkang khasnya daripada PAS terus membuat hashtag ‘KerajaanDerhaka’ tanpa memahami kesan kes tersebut.
Laporan yang dibuat oleh pemberita The Edge ini boleh memberikan gambaran tepat berkaitan hal tersebut. Namun, ianya ditulis dalam bahasa inggeris dan menyukarkan sebahagian rakyat untuk mendapat akses tepat. Laporan asal itu boleh diakses di link berikut:
https://theedgemalaysia.com/node/739934
Dalam keputusan 2-1 Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan tersebut khususnya berkaitan keterangan lanjut dalam afidavit anak najib, Nizar Najib kerana tiada sanggahan daripada Peguam Negara berkaitan kewujudan adendum itu dan apa jua dapatan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memutuskan bahawa cerita adendum itu sebagai satu bukti cakap dengar (hearsay) yang tidak lagi dapat dipertahankan.
Sebelum itu, dalam permohonan untuk mendapatkan semakan kehakiman itu, Najib menyatakan bahawa beliau telah menulis kepada enam responden daripada kerajaan untuk mengesahkan kewujudan adendum itu tetapi tidak mendapat sebarang jawapan balas.
Najib juga memohon perkenan Sultan Pahang untuk menggunakan adendum itu dalam affidavit dan perkenan Sultan Pahang hanya diperolehi pada 2/12/2024. Tanpa perkenan Sultan, Najib tidak boleh memaksa Sultan Pahang untuk memberikan adendum tersebut.
Jadi, berdasarkan faktor itu, dua orang Hakim Mahkamah Rayuan itu telah memutuskan Najib telah mematuhi prinsip yang dikemukakan dalam kes Ladd vs Marshall (di mana bukti tidak tersedia ketika itu, usaha wajar yang munasabah telah dilaksanakan, dan ia akan mempengaruhi keputusan kes).
Peguam Negara pula tidak mencabar kewujudan adendum yang didakwa, oleh itu adendum dianggap wujud oleh Mahkamah. Oleh itu, kedua-dua hakim itu berpendapat bahawa pada peringkat ini, kewujudan adendum itu telah berjaya dibuktikan oleh Najib meskipun kedua-dua hakim itu masih belum memutuskan mengenai ketulenan adendum tersebut atau setakat mana adendum itu berkuatkuasa.
Berdasarkan prinsip undang-undang yang terpakai dalam sesuatu permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan sesuatu semakan kehakiman, seseorang yang terkilan itu hanya perlu menunjukkan bahawa beliau mempunyai kes yang boleh dipertikaikan, kes itu tidak remeh dan menyusahkan. Dalam hal ini dua hakim tersebut berpendapat kes ini mempunyai merit untuk diberikan kebenaran bagi memulakan proses semakan kehakiman.
Manakala, hakim yang tidak bersetuju dengan rayuan ini pula berpendapat hakim Mahkamah Tinggi ketika itu telah bertindak menurut undang-undang apabila tidak tidak menerima keterangan oleh Nizar. Hakim juga berpendapat keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memetik keterangan daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai keterangan cakap dengar (hearsay).
Hakim yang tidak bersetuju ini juga memutuskan bahawa tawaran Nizar untuk mengemukakan bukti tambahan tidak melepasi ambang yang perlu dipenuhi seperti dalam kes Ladd vs Marshall, dan dia mendapati tiada merit untuk menerimanya sebagai bukti lanjut.
Kes ini kelak akan didengar oleh hakim baharu dan tarikh pengurusan kes telah ditetapkan pada 13/1/2025.
Berdasarkan fakta ini nyatalah bahawa kes adendum ini baharu sahaja bermula di peringkat kebenaran untuk memulakan proses semakan kehakiman. Itu pun jika peguam negara tidak membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. Jika peguam negara merayu kepada Mahkamah Persekutuan maka kes ini masih lagi akan tertangguh.
Isu yang dimainkan oleh pembangkang bahawa kononnya PMX zalim terhadap Najib, PMX menyembunyikan kewujudan adendum, Najib mendapat perbicaraan yang pincang, Anwar tidak adil itu hanyalah slogan politik pembangkang terutamanya daripada pemimpin, ahli dan penyokong PAS. Permainan politik menuduh sedemikian bukanlah perkara asing bagi orang PAS kerana baru-baru ini pemimpin mereka pun telah disabitkan fitnah Sepupu Chin Peng sehinggakan terpaksa membayar RM825,000 kepada pemimpin DAP.
Jika ditelitikan fakta kes Najib ini, beliau telah menamakan enam responden iaitu
1. Komisioner Jeneral Penjara
2. Menteri Dalam Negeri
3. Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Di Jabatan Perdana Menteri
4. Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya
5. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi)
6. Kerajaan Malaysia
7. Peguam Negara Malaysia
Untuk rekod, Najib telah dihukum penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta. Melalui pengampunan Diraja yang diputuskan pada 29/1/2024, hukuman Najib telah dilegakan kepada 6 tahun penjara dan RM50 juta denda bermula 22/8/2022.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib memohon suatu perintah mandamus untuk memaksa responden-responden itu mengeluarkan perintah pengampunan yang asal bersama dengan satu titah tambahan (adendum) yang dikatakan dibuat oleh YDPA ke 16.
Walau bagaimanapun, undang-undang menetapkan bahawa perintah asal itu adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi dan tidak boleh didedahkan kepada orang ramai.
Di dalam afidavit sokongannya, Najib menyatakan beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menulis surat bertarikh 14/2/2024 kepada peguam negara yang mana salinannya telah dihantar kepada PMX dan DS Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri.
Selanjutnya surat juga telah dihantar oleh peguam Najib kepada Menteri KDN, Lembaga Pengampunan dan Menteri yang menjaga Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri berkaitan isu yang sama.
Kesemua surat yang dihantar itu tidak mendapat maklum balas dan oleh itu, Najib menegaskan bahawa kegagalan untuk memberikan jawapan yang tuntas adalah satu tindakan yang tidak rasional, tidak munasabah, tidak sah dan arbitrari serta melanggar peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kuasa pengampunan Diraja.
Dalam afidavit tambahan, Najib juga menyatakan telah menulis surat bertarikh 25/3/2024 kepada YDPA ke 16 dan YDPA ke 17, iaitu YDPA sekarang berkaitan niatnya untuk memfailkan semakan kehakiman ini.
Suatu yang agak aneh dalam perjalanan kes Najib ini adalah Najib tidak memaklumkan kepada Mahkamah mengenai apa-apa maklum balas daripada istana mengenai suratnya tersebut. Malah, pada 10/12/2024 penasihat undang-undang negeri Pahang telah mengeluarkan satu kenyataan mengatakan beliau telah masuk menghadap Sultan Pahang bersama dengan Menteri Besar Pahang dan menyatakan Istana Pahang tidak akan membuat apa-apa kenyataan berkaitan isu adendum ini kerana menghormati prosiding Mahkamah Rayuan pada 6/1/2025.
Agak mengejutkan juga kerana tiba-tiba pada 4/1/2025 (hari Sabtu), Istana Pahang telah mengeluarkan satu surat pengesahan kepada anak Najib berkaitan kewujudan titah adendum yang dimaksudkan itu dan pada 6/1/2025. Barangkali tindakan ini telah menyebabkan peguam negara juga turut tergamam sama seperti khalayak ramai. Apa yang menyebabkan perubahan pendirian Sultan Pahang itu tidaklah kita ketahui. Jika Sultan Pahang semenjak awal-awal lagi membuat pendedahan tersebut barangkali Najib pun tidak akan memfailkan permohonan semakan kehakiman ini.
Justeru, adalah tidak adil kepada pembangkang untuk membuat tohmahan kononnya kerajaan perpaduan pada hari ini adalah tidak adil kepada Najib atau ingin menyorokkan fakta titah adendum tersebut.
Pastinya, ketulenan atau proses pembuatan titah adendum sendiri akan menjadi persoalan penting kepada Mahkamah Tinggi kelak. Satu perkara lagi, isu berkaitan titah Diraja ini adalah sesuatu yang di luar perbicaraan Mahkamah (non-justiciable). Namun, sebagai Raja Berperlembagaan semua orang perlu patuh kepada peruntukan perlembagaan. Kuasa untuk pengampunan ini adalah terkandung dalam Perkara 42. Maka, kelak ada kewajaran juga bagi mahkamah untuk meneliti titah adendum ini sama ada bertepatan dengan kehendak Perkara 42 sebelum ianya dilaksanakan kerana setiap hakim telah bersumpah semasa mengambil jawatan itu untuk memelihara Perlembagaan Persekutuan.
Namun, seperti biasa pembangkang akan mencari celah untuk menggugat kestabilan kerajaan perpaduan. Pada hari ini pun kita melihat laungan mereka supaya PMX meletakkan jawatan kerana kononnya derhaka kepada Raja.
Sebenarnya PMX sendiri sudah berbuat melebihi tuntutan undang-undang. Proses pengampunan Najib itu sendiri adalah satu perkara yang luar biasa jika dibandingkan dengan banduan atau tahanan lain. Tahanan Maunah misalnya menunggu berpuluh tahun sebelum mereka diberikan pengampunan. Begitu juga dengan pengampunan PMX hanya dibuat setelah 10 tahun meringkuk dalam penjara.
Dalam ucapannya pada 12/12/2024 di hadapan mahasiswa UiTM dalam program FlySiswa, PMX menyatakan bahawa beliau melihat tiada agenda untuk membincangkan petisyen pengampunan Najib dalam sidang Lembaga Pengampunan dan beliau telah menghadap YDPA untuk memohon bagi memasukkan agenda tersebut. Ini suatu tindakan yang mulia dan bertanggungjawab jika mengambil kira PMX pernah masuk penjara pada zaman Najib dan tidak pernah mendapat pembelaan sedemikian daripada Najib.
Barang diingat juga bahawa Istana Negara telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 3/1/2025 menegaskan kuasa YDPA di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan untuk memberi ampun, tunda hukum atau lega hukum. Kenyataan seperti ini seperti memberikan isyarat bahawa YDPA terbuka untuk menerima apa-apa permohonan lega hukum yang baharu daripada Najib.
Oleh itu, isu untuk PMX meletakkan jawatan atau menyorokkan maklumat adalah tidak berbangkit langsung kerana semua yang dilaksanakan oleh PMX itu adalah selaras dengan kehendak undang-undang.
Selain itu, jika dilihat kepada kes rayuan ini, hakim Mahkamah Rayuan menanyakan kepada peguam negara kenapakah mereka tidak memberikan sebarang maklum balas berkaitan kewujudan adendum ini dan hakim tidak pula menyalahkan PMX. Peguam Negara selaku badan penasihat tertinggi kerajaan terhadap isu undang-undang pastinya sudah menasihati tindakan yang wajar dibuat oleh PMX dan PMX telah patuh terhadap nasihat itu sehinggakan sewaktu ditanyakan dalam parlimen berkaitan isu ini PMX menyatakan kesediaannya untuk menjelaskan selepas kes Najib selesai. Mungkin pihak peguam negara perlu segera memberikan penjelasan mengenai hal ini dan pendirian mereka terhadap titah adendum tersebut. PAS pula tidak nampak menyalah peguam negara dalam hal ini dan menuntut supaya peguam negara meletakkan jawatan.
Mungkin pihak PAS melihat tiada lagi cara untuk mereka menggerakkan gerakan tebuk atap maka mereka menggunakan cara murahan sebegini untuk menggenapkan atau menchukopkan jumelooh yang diidam-idamkan itu.
Dr Zulqarnain Lukman
7/1/2025
7 Rejab 1446H