KUALA LUMPUR: Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula esok, dengan Pahang dan Johor antara negeri yang dijangka turut terjejas dengan bencana itu kali ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata di Sabah dan Sarawak pula, banjir dijangka berlaku dalam tempoh penghujung bulan ini hingga Mac.
“Kita harap supaya tidak terjadi sepertimana gelombang pertama, kali ini gelombang kedua mungkin akan melibatkan Johor dan Pahang dengan lebih berat lagi, namun kesiapsiagaan melalui pengagihan perkhidmatan untuk aset dan pegawai serta anggota dan peralatan telah kita atur gerak.
“Kita harapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan penyelarasan terhadap usaha yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat pelepasan sukarelawan Skuad Misi Bantuan Pasca Banjir Barisan Nasional (BN) ke Pantai Timur dan Utara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid berkata setakat ini, kurang 10,000 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 153,000 pada 1 Dis lepas, yang melibatkan 45,000 keluarga.
Beliau berkata hingga kini, sejumlah 222,000 mangsa banjir telah disantuni, sambil menzahirkan penghargaan atas kerjasama NGO yang luar biasa dalam membantu mangsa banjir termasuk menerusi kerja-kerja pembersihan pascabanjir.
Mengulas mengenai misi bantuan banjir berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata ia merupakan bukti gabungan parti itu melakukan kerja tidak bermusim dengan memberikan khidmat bantuan kepada masyarakat sepanjang masa tanpa mengira ketika bencana atau pilihan raya.
“Ramai orang tolong sebelum dan ketika banjir, tetapi tidak ramai yang bantu selepas banjir, maka keprihatinan dan pertolongan BN selepas banjir menunjukkan keprihatinan BN tidak bermusim. Kita tetap menyantuni rakyat keseluruhannya,” katanya.
Sukarelawan pascabanjir berkenaan terdiri daripada 300 Pemuda, Wanita dan Puteri BN serta 100 UMNO Siswa yang melibatkan tujuh kenderaan pacuan empat roda, dua van, 15 lori dan satu treler.
Mereka turut membawa 1,000 pek bantuan barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa banjir. –AlHijrah Online