Royalti minyak: Samsuri, Pas terus kekal dengan politik bebalkan rakyat

 



Parti AMANAH NEGARA (AMANAH) Terengganu menyelar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas yang berterusan “menuntut hak royalti Terengganu” bagi menampung perbelanjaan kerajaan negeri.

Pengarah Komunikasinya, Muammar Qaddafi Mohd Nasir menyifatkan Samsuri cuba menyembunyikan kelemahan pentadbiran dengan meletakkan bebanan kewangan negeri kepada Kementerian Kewangan.

Menurutnya, ketidakupayaan untuk Samsuri mengurus pendanaan negeri meletakkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu tidak mempunyai modal lain selain menuntut royalti minyak.

“Samsuri, dan Pas khususnya perlu malu dengan tuntutan tuntutan yang dibuat.

“Pengalaman sebagai pentadbir di peringkat Persekutuan selama 33 bulan sepatutnya mendidik mereka menjadi lebih bijak dan pandai, tahu membezakan antara hak dan Ehsan.

“Malangnya, mereka terus kekal dengan politik membebalkan masyarakat dengan membelakangi fakta dan akta yang ada,” tegasnya menurut kenyataan dikeluarkan hari ini.


Beliau menegaskan bahawa tuntutan terhadap “hak royalti minyak” Terengganu amatlah janggal apabila merujuk Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian 1975.

“Terengganu tidak pernah mempunyai hak terhadap royalti minyak semenjak awal, sebaliknya ia merupakan wang ehsan Kerajaan Persekutuan, kepada kerajaan negeri bagi tujuan membantu rakyat negeri Terengganu.

“Pemberian wang kepada Terengganu adalah ehsan dari Perdana Menteri dan sama ada ianya ditermakan sebagai royalti ataupun wang ehsan.

“Kedua-duanya adalah ehsan Perdana Menteri kerana minyak yang dijumpai di luar tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri,” jelasnya.

Muammar Qaddafi Mohd Nasir

Muammar berkata, royalti, wang ehsan, atau Wang Tunai Petroleum hanyalah istilah yang digunakan, dan tidak boleh menafikan kedudukan sebenar wang terbabit sebagai “wang ehsan” kepada Negeri Terengganu.

“Perkara ini disahkan sendiri oleh Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menjadi Menteri Kewangan sewaktu PN mentadbir dan Pas menjadi sebahagian dari kerajaan Persekutuan.

“Tengku Zafrul menegaskan di Dewan Rakyat bahawa Petronas tidak akan membayar royalti kepada mana-mana negeri di Semenanjung kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri masing-masing,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri Terengganu perlu menerima hakikat bahawa kawasan penemuan minyak itu bukan milik mereka sekaligus hak yang dituntut itu bukan merupakan hak mereka.

Tambahnya lagi, PN sendiri gagal untuk menjadikan ia “hak” mereka sewaktu pentadbiran selama 33 bulan sedangkan ketika itu, Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah dari Pas dan beliau tidak membawa Akta Wilayah Laut 2012 ke Parlimen untuk dimansuhkan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2009 sekurang-kurangnya pada pernah berusaha untuk meminda Akta Petroleum Negara.

“Seksyen 10 Akta ibu dipinda dengan memotong tanda noktah pada penghujung seksyen tersebut dan memasukkan perkataan-perkataan berikut:

“dan perkataan ‘di luar pantai’ bermaksud sebahagian kawasan di tengah laut terbuka di luar pesisir pantai yang berada di dalam had Zon Ekonomi Ekslusif bagi Persekutuan dan diukur menurut undang-undang yang diterima pakai oleh Persekutuan pada masa berkaitan”.

“Walaupun usaha ini gagal ketika itu, namun memperlihatkan usaha beliau ketika itu untuk nasib negeri dibawah pentadbiran Pas, namun usaha ini langsung tidak pernah dilakukan oleh pemimpin dari parti Pas itu sendiri,” ujarnya lagi.