Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memberi amaran keras kepada pihak yang berlebihan memainkan isu kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf Israel.
Beliau menyatakan rasa kesal kerana individu yang memainkan isu ini adalah mereka yang menggunakan nama parti Islam.
Katanya, tidak masuk akal untuk seorang pemimpin negara Islam seperti Anwar mengambil pendirian menyokong Israel.
“Takkanlah (mereka) tak boleh buat penilaian langsung bab itu. (Mereka buat ini) hanya untuk dapat keuntungan politik, hendak tempek wajah ‘hodoh’ – Anwar Ibrahim equal to Israel…
“Maka (mereka hendak mengajak) mai lah orang Melayu Islam jangan sokong (Anwar). (Tujuan mereka) macam itu. (Perbuatan ini) hanya untuk memancing sokongan, itu yang saya kesalkan,” katanya dalam sidang media semalam.
Saifuddin memberi peringatan supaya semua pihak berhenti memainkan isu berkenaan memandangkan pendirian Malaysia amat jelas dalam mengecam dan menolak sama sekali sebarang kekejaman dilakukan Israel terutama terhadap rakyat Palestin.
“Saya percaya bahawa rakyat terbanyak mengikuti perkara ini dan rakyat tahu buat penilaian, sebab itu kita minta hentikan, tetapi kalau berlebihan tentulah pendekatan penguatkuasaan kita ambil
“Terang-terang pendirian Malaysia ini diketahui seantero dunia, (diketahui) oleh kawan dan lawan, tiba-tiba ada lagi kenyataan yang nak memperlekehkan kebijaksanaan rakyat (dengan dakwa Perdana Menteri mengiktiraf dan sokong Israel), sebab itu kita suruh dia (dan mana-mana pihak berkaitan untuk) hentikan perbuatan seperti ini,” katanya lagi.