Anwar kukuhkan ‘silaturahim’ Malaysia-Mesir, tegaskan perjuangan demi Gaza




Di atas kertas, hubungan diplomatik Malaysia-Mesir mencapai usia 65 tahun sejak 10 November 1959, tetapi kunjungan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu atas jemputan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi melambangkan ‘silaturahim’ kedua-dua negara melangkaui tempoh itu, manakala signifikannya sangat besar, terutama dalam konteks geopolitik.

Hakikatnya, hubungan antara rakyat terjalin sebelum kedua-dua negara berjaya membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan British, iaitu Mesir pada 1922 dan Tanah Melayu pula merdeka pada 1957. Ini kerana pelajar dari Tanah Melayu sudah melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar di Mesir akhir abad ke-19 lagi, sekali gus menjadikan hubungan people-to-people antara kedua-dua tamadun terikat atas dasar keilmuan dan persaudaraan kukuh.

Tidak hairanlah selain pertemuan dan mesyuarat dua hala kedua-dua negara masing-masing diwakili Anwar dan El-Sisi, Perdana Menteri turut mengadakan perjumpaan dengan Sheikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb. Ia membuahkan hasil signifikan, iaitu penambahan biasiswa kepada pelajar Malaysia cemerlang dalam perubatan, kejuruteraan dan teknologi di universiti berkenaan serta kewujudan program Sains Islam (Ulum Islamiah) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Institut Bahasa Arab Al-Azhar Al-Sharif dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Umumnya, pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke universiti tertua di dunia selepas Universiti az-Zaytuna, Tunisia dan Universiti al-Qarawiyyin, Maghribi itu dalam bidang agama, tetapi perkembangan terbaru berkenaan bertepatan hasrat Perdana Menteri seperti diluahkan dalam syarahan umum di hadapan lebih 1,500 kakitangan dan pelajar Universiti Al-Azhar. Anwar mahu pelajar memperlengkapkan diri bukan sahaja dengan ilmu keagamaan, bahkan dalam bidang teknologi supaya dapat mengintegrasikan nilai Islam dengan kemajuan digital seperti kecerdasan buatan (AI).

Malah, kunjungan Perdana Menteri juga membawa signifikan sangat besar dalam konteks geopolitik melalui kenyataan bersama Anwar dengan El-Sisi mengutuk serangan Israel dan menyeru gencatan senjata segera di Gaza serta Lubnan untuk mengelakkan krisis kemanusiaan lebih parah. Serangan genosid Israel sudah mengorbankan lebih 43,000 nyawa, merebak ke Lubnan mengembalikan igauan perang 1982 dan Gaza pula dikhuatiri menghadapi krisis kebuluran.

Kenyataan bersama Malaysia-Mesir itu memperkukuh lagi usaha Anwar yang sejak awal bukan sahaja mengecam serangan Israel dan melaungkan solidariti dengan Gaza, bahkan ‘berdebat’ dengan pemimpin Barat termasuk Canselor Jerman, Olaf Scholz di Berlin serta berusaha memastikan bantuan kemanusiaan dari Malaysia dapat disalurkan ke Gaza.

 

Apatah lagi, Anwar membawa misi besar termasuk suara dan mandat rakyat pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam untuk membincangkan serangan dan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas warga Palestin dan Lubnan. Kita berharap sidang berkenaan menghasilkan keputusan konkrit termasuk melaksanakan embargo minyak jika perlu dan memastikan semua negara Islam sepakat memulau Israel hingga negara haram itu menamatkan serangan ganas ke atas Gaza serta Lubnan.