AKIBAT MULUT LAJU DARI OTAK

 

SELEPAS SUNGAI BAKAP, PENGUNDI CINA PROTES LAGI DI MAHKOTA?


24 September 2024


Ternampak semacam BN sedang berdepan masalah dengan pengundi Cina di PRK Dun Mahkota pada 28 September ini.


Setakat ini sudah dua kali Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghali meluahkan kebimbangan dengan sokongan pengundi Cina.


Dua hari lalu, beliau dilaporkan meminta agar pengundi Cina tidak menghukumnya dengan tidak keluar mengundi di PRK Mahkota pada 28 September nanti.


Onn Hafiz berkata, beliau menerima laporan daripada komuniti perniagaan yang menyatakan pengundi Cina di Mahkota kurang berminat untuk mengundi kali ini.


“Jika benar, saya sangat-sangat sedih. Kerana isu-isu di peringkat persekutuan, mereka (pengundi Cina hendak) hukum saya.


“Kalau betul ia berlaku, saya rasa macam saya kena hukum, sebab saya sentiasa bekerja keras untuk bangsa Johor tanpa mengira warna kulit,tanpa mengira cuaca,” katanya pada satu video temu bual bersama China Press.


Komuniti Cina mewakili sekitar 35 peratus daripada pengundi Dun Mahkota, manakala Melayu 54 peratus, India 8 peratus dan selebihnya lain-lain kaum.


Semalam pula, Onn Hafiz sekali lagi bersuara berkenaan kebimbangannya terhadap sokongan pengundi Cina.


Kali ini beliau merayu pengundi Cina agar mengetepikan emosi yang boleh menjejaskan sokongan kepada calon BN pada pengundian PRK Dun Mahkota, Sabtu ini.


Menurutnya, penting untuk mereka membuktikan kestabilan yang wujud dalam kerajaan negeri bagi merealisasikan setiap perancangan yang dibuat khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi yang turut melibatkan kerjasama pelabur asing.


“Saya memang sedih bila dia (media) tanya tentang (pengundi) Cina akan boikot (calon BN)…kerana mesej yang akan disampaikan kepada pelabur-pelabur akan menunjukkan bahawa Johor ini tidak stabil, jangan datang (melabur) di Johor, dan kita tak mesra. (Sedangkan) dalam hati kita semua mahu bangunkan ekonomi Johor.


“Kebanyakan yang berada di dalam dewan ini adalah tauke-tauke, pengerusi-pengerusi persatuan, pengerusi-pengerusi tokong, pemimpin-pemimpin masyarakat yang berpengaruh…saya merayu.


“Jangan terikut-ikut dengan (sentimen di) media sosial, kita kena perlu lebih rasional. Saya tahu banyak keputusan dibuat secara emosional. 


“Tapi ini adalah masa untuk beremosi demi kebaikan negeri Johor. Kita bulatkan tekad untuk bangunkan Johor ini bersama,” katanya berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Peniaga Tionghua dan Masyarakat Tionghua Kluang di sini.


Benarkah pengundi Cina akan melakukan protes dan tidak keluar mengundi sebagaimana mereka tunjukkan di Sungai Bakap sebelum ini?


Apakah kali ini puncanya kerana serangan terbuka Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dengan memanggilnya “nyonya tua” serta mencadangkan agar ditampal “logo tidak halal” di dahi Ahli Parlimen Seputeh itu?


Memang kalah adalah hampir mustahil bagi BN di Mahkota ini, tetapi jika majoriti kemenangan jauh merosot berbanding keputusan sebelum ini, walaupun kini setelah PH dan BN bekerjasama, ia bermakna hubungan jangka panjang kerajaan perpaduan sedang berada di ambang bahaya.


Adakah masa depan hubungan UMNO dan DAP akan terus berantakan selepas PRK Mahkota ini? – ShahbudinHusin 24Septembrt2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/09/24/selepas-sungai-bakap-pengundi-cina-protes-lagi-di-mahkota.html